Sambutan rakyat lebih baik berbanding 2022, kata PM 


Anwar Ibrahim berkata ada kemaraan dalam kalangan rakyat khususnya di enam negeri yang berdepan PRN pada Sabtu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2023.

SAMBUTAN rakyat jauh lebih baik bagi gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) jika dibandingkan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun lepas, kata Pengerusi PH Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata setakat ini, beliau dapat melihat satu kemaraan dalam kalangan rakyat khususnya di enam negeri yang berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN), pada Sabtu ini.

“Sebab dulu dia (rakyat) dengar semua negatif, kata Anwar akan tarik balik hak orang Islam, akan bagi pelajar-pelajar pakai skirt. Fitnah ini menjadi budaya, jadi orang percaya.

“Sebahagian tengok dah tidak jadi, pelajar-pelajar dah tidak pakai skirt pun sekarang. Jadi, saya tengok itu mengubah sedikit. Saya percaya, insya-Allah ini akan berubah,” katanya kepada pemberita selepas beramah mesra dengan masyarakat Sungai Bakap di Gerai Perda Tasek, Simpang Ampat, di Nibong Tebal, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pandangan penganalisis politik PRN kali ini akan mengekalkan status quo iaitu PH-BN kekal memerintah di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan manakala Perikatan Nasional (PN) di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Menyentuh mengenai dakwaan penglibatan menantu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berhubung siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran pekerja asing, Anwar meminta individu berkenaan agar tidak melarikan diri, sebaliknya pertahankan jika tidak bersalah.

“Mana boleh (lari), kalau ada bukti, siasat, dakwa. Kalau dia rasa tidak bersalah, pertahankan bukan lari, bukan contoh yang baik,” katanya.

Dilaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sedang mengesan dua individu iaitu Muhammad Adlan Berhan, 48, dan Mansoor Saat, 69, bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Menurut SPRM, semakan rekod oleh suruhanjaya itu juga mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lepas, dan setakat ini tiada rekod kedua-duanya kembali ke Malaysia.

Anwar yang juga presiden PKR itu membidas pembangkang kerana sering bercakap mengenai soal ‘bersih’, tetapi mereka lebih banyak terlibat dengan dakwaan SPRM berkaitan rasuah yang melibatkan nilai wang tinggi.

“Jadi kamu (pembangkang) kena jagalah hal ini. Jumlah yang dikaitkan dengan rasuah itu banyak, sekarang tak boleh PN, PAS, Bersatu gunakan bersih kerana mereka terpalit dengan rasuah besar,” katanya.

Terdahulu ketika berucap, perdana menteri mengulangi yang Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang diaktifkan semula bagi memperkasa sosioekonomi dan modal insan Bumiputera Madani di Pulau Mutiara itu. – Bernama, 8 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen