Mimpi basah Mahathir dan Hadi 


Faisal Tehrani

MIMPI basah Mahathir Mohamad dan Abdul Hadi Awang ialah apabila Perikatan Nasional (PN) memenangi lima buah negeri dalam PRN hujung minggu ini. PH kalah 5-1. Umno akan kalah di banyak kerusi yang ditandingi. 

Ekoran dari itu akan berlaku satu revolusi bingit dalam parti tersebut. Ahmad Zahid Hamidi akan dilengserkan. Umno akan menabalkan presiden baru – mungkin ular hitam – yang akan menarik diri dari Kerajaan Perpaduan. Parti-parti Sabah dan Sarawak akan membuntut. Anwar Ibrahim akan menjadi XPM. Bukan lagi PMX. Segala penjudi, kaki curi, dan tukang sakau akan merdeka.

Untuk menjadikan mimpi basah itu kenyataan, terdapat beberapa sebab musabab untuk menegangkan keadaan bagi mencapai inzal ini. Sebab-sebab yang menjadikan geli-geli asyik ini demikian melekit ada beberapa. Kita panggilkan ia porno Melayu.

Porno pertama, orang Melayu perlu dirangsang. Keghairahan Melayu ada banyak. Contohnya Melayu cepat ghairah kalau ada azan tidak dapat dilaungkan meskipun sebenarnya tetuang atau mikrofon surau itu rosak.

Melayu akan lagi-lagi tergiur dan tergoda kalau ada mana-mana jantan bercium atas pentas maka mereka boleh menuding jari kepada sasaran.

Melayu paling terpancut awal kalau dikhabarkan Cina sedang mara, meskipun hak-hak mereka yang terlebih istimewa itu tidak mampu digugat ganggu dalam Perlembagaan Malaysia. Meskipun apa benda yang dikatakan Cina sedang mara itu pun tidak ketahuan punca dan sumber.

Tatkala Melayu sedang sedap bercengkerama dengan khayalan-khayalan bahawa Cina akan merampas negeri ini, mereka akan disedapkan lagi dengan dakyah bahawa ada Melayu (yang akan dikafir atau dinifaqkan) menolongkan Cina. Budaya takfiri memang usapan terlebih best.

Semua cerita-ceriti rasis, ekstrem dan tidak masuk akal ini sedang dipertontonkan dengan begitu hangat di saluran youtube, TikTok, IG, aplikasi Whatsapp dan medan ranjang Facebook.

Lebih banyak orang bijak cuba melojikkan keadaan, mewaraskan hujah, dan membetulkan argumen fantasi ini dengan fakta, maka lebih lagilah falasi ini akan menjadi kelucahan melampau.

Alat kelamin Melayu yang sedang amat tegang ini akan memilih untuk melenjan menghenjut peti undi dan menghamburkan segala kelucahan dan erotisme siasah dalam benak mereka itu.

Sebaik itu berlaku, mereka akan terkapar lesu. Yang tegang akan kendur kembali. Lesu apabila negeri ini diberi kepada badut dan bandit, bapak kongsi gelap, graduan-graduan universiti palsu di Barat, haji hajjah yang hanya faham marhaban. Maka puaslah hati Melayu.

Tidak apa-apa kalau mereka disakau dijarah setiap detik dan saat pun. Yang penting Melayu dah basah. Kalau-kalau ada tanda Melayu kesal, mereka akan disogok lagi dengan porno ini, dan ulangan yang sama.

Porno kedua, untuk membolehkan Melayu teramat kesedapan tentulah dengan menciptakan objek lembut untuk dihenjut dilanyak. Objek itu tidak lain tidak bukan yang nampaknya sedap dilutu ialah DAP.

Ratib dan ratap DAPDAPDAP ini amat berjaya kerana Melayu tidak dapat membayangkan mana-mana amoi atau nyonya Cina menguasai pentadbiran kerajaan meskipun mereka itu kompeten. Padahal mereka berkhidmat untuk semua.

Melayu misalnya sanggup mencebok buntut anak dengan air lumpur dari membersihkan buntut bayi sendiri dengan air bersih. Mana-mana Melayu yang berani bersuara tidak mahu lagi mandi air kotor, mereka akan diserang dan dihumban ke sarang paling dalam.

Apa pun segala cerita pencabulan terhadap DAP ini akan dilakukan secara berjemaah, dan diberi nama proklamasi Melayu, atau kepentingan ummah, atau memanipulasi kakistokrasi untuk diri sendiri. Cerita-ceriti porno ini diomel waktu moreh selepas baca Yassin atau setelah menadah kitab Imam Ghazali, di sela kelas tajwid tentang ikhfa dan dengung.

DAP adalah porno Melayu paling haram sekali. Melayu seamat pantang kalau DAP membuat silap terlondehkan auratnya, maka Melayu akan menggelupur syok lalu terpancut beramai-ramai dengan dengus paling membahana.

Dua porno ini meskipun cuba disanggah oleh Raja-raja Melayu, nampaknya tidak lut. Sebab tahap kesangapan, dan ketagihan kepada porno ini telah amat kronik. Maka benak dan retina mata Melayu dikelabukan.

Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada pelancaran buku dan wacana Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) minggu lalu adalah satu usaha untuk menyedarkan Melayu agar mengawal nafsu buas dalam diri.

Baginda menyeru Melayu untuk memupuk perpaduan bahkan menurut baginda ia sangat genting dan diperlukan, demi menangkis suara-suara yang cenderung mengapi-apikan perasaan rakyat atas nama bangsa dan agama.

Baginda mahukan Melayu mengambil contoh pada Allahyarham Tun Dr Ismail yang tersohor dengan semangat kebangsaan Melayu yang tulen, namun berulang kali menegaskan bahawa masyarakat Malaysia ialah masyarakat berbilang kaum dengan budaya dan resam sendiri.

Pada minggu yang sama juga, Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan jihad untuk memartabatkan kaum tidak boleh sampai mendorong negara ke arah polarisasi. 

Intinya, kalau kita renungkan saranan baginda adalah supaya jihad untuk mengangkat martabat Islam jangan sampai merogol semangat perpaduan.

Suara garit dan gelenyar mengapi-apikan rakyat atas nama bangsa dan agama perlu segera ditegah kerana ia berpotensi merosakkan, membawa kepada kejahatan dan persundalan.

Bukan namanya jihad kalau ia diselaputi racun untuk saling mencurigai antar-kaum santak boleh mengakibatkan pergaduhan.

Ucapan Tuanku Yang di-Pertuan Agong sebagai titah terakhir Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu sangat penting dan merupakan isyarat padu mengenai pembentukan identiti nasional. Akan tetapi saat ia tiba di skrin telefon bimbit dan gajet Melayu, mereka akan swipe, kerana mereka lebih tertarik atau setepatnya ketagihan porno. Melayu suka porno.

Mimpi basah dua tokoh Melayu di atas memang boleh menjadi kenyataan. Jika saban detik Melayu sedang dirangsang, sukar untuk Melayu tidak terkeruh.

Melayu sedang dionanikan secara ganas oleh porno-porno hebahan malaun ini. Susah untuk Melayu bertahan kalau kelamin mereka dilancapkan demikian gelojoh.

Akhir-akhirnya pasti Melayu akan basah, dan terpancut lantas melepaskan nafsu dan dendam di dalam diri mereka itu. Dan, paling jahanam, banyak tahun mendatang pun Melayu akan terus dizinakan dengan kisah-kisah haram ini. 

Mereka suka dengan porno ini. Usaha untuk mencegah dan meleraikan ketagihan porno ini menjadi payah sebab ada musibat-musibat yang menyuguhkannya.

Tidak ada siapa pun berani menyergap pengipas porno ini. Mereka amat agam, dan besar; mengatasi siapa pun. Pengipas porno ini terlalu kebal.

Bolehkah kita menyedarkan Melayu bahawa porno-porno yang ditonton dan ditelan itu sebenarnya nurakawi? – 8 Ogos, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen