SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan menantu kepada bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, Muhammad Adlan Berhan dan seorang peguam, Mansoor Saat.
Dua lelaki berkenaan dikehendaki bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian, kata agensi antirasuah itu dalam satu kenyataan hari ini.
“Pelbagai usaha telah dilakukan oleh SPRM termasuk berhubung terus dengan kedua-dua penama dan peguam masing-masing namun mereka masih gagal menghadirkan diri ke pejabat SPRM.
“Hasil semakan SPRM dengan Jabatan Imigresen Malaysia, kedua-dua penama berkenaan telah meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023 serta tiada rekod masuk kembali ke negara ini,” kenyataan itu dipetik.
Menurut SPRM, alamat terakhir Adlan ialah Lot 65, Sunway Kiara Hills, Jalan 32/70A Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur manakala Mansoor di 5 Jalan SS19/1C Subang Jaya, Selangor.
Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai dua individu berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Nur Muhammad Amin Jamaluddin di talian 603-88700799 atau 016-4322 699 atau emel kepada [email protected].
Februari lalu, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional menafikan sebarang penglibatan dalam pemberian kontrak projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang didakwa ada kaitan dengan menantunya Adlan, semasa beliau jadi perdana menteri.
Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan, tiada mana-mana ahli keluarganya mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad, sama ada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham.
NIISe dilancarkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada April 2021, menterinya ketika itu Hamzah Zainudin. – 7 Ogos 2023.
Komen