Malaysia negara pelbagai kaum, raikan kepelbagaian


G Manimaran

PADA Sabtu lalu 5 Ogos, saya berpeluang menghadiri majlis pelancaran buku Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, karya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Majlis pelancaran berlangsung tiga hari selepas sambutan ulang tahun ke-50 memperingati pemergian Tun Dr Ismail Abdul Rahman, mantan Timbalan Perdana Menteri. Majlis disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sendiri.

Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mengandungi 35 titah yang pernah baginda zahirkan antara 6 Februari 2017 hingga 21 Mac 2022, kesimbangan daripada buku Siri Titah I Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang diterbitkan dan dilancarkan pada tahun 2021.

Majlis pelancaran sinonim dengan beberapa detik penting lagi signifikan dalam lipatan sejarah.

Titah baginda: “Dengan penentuan Ilahi, kita dipertemukan dalam Majlis Pelancaran Buku Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Majlis ini berlangsung pada tarikh 5 Ogos, bertempat di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia. Majlis ini mencipta sejarah tersendiri, berlangsung dalam Bulan Kebangsaan, dalam suasana negara sedang diambang menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-66.”

Editor buku, Mohd. Annuar Zaini pada prakata bertarikh 16 September 2022, menekankan bahawa “titah-titah yang terkumpul dalam koleksi ini telah dizahirkan antara 6 Februari 2017 hingga 21 Mac 2022, tempoh waktu negara sedang menghadapi era politik prapilihan raya dan pasca-Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang berlangsung pada 9 Mei 2018. Ketelusan tadbir urus, rasuah, skandal kewangan dan integriti merupakan isu-isu besar yang mendapat perhatian umum pra-PRU14.”

Tanggal 21 Mac 2022 juga merupakan baginda melancarkan buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir di ibu negara, satu titah yang cukup bernas.

Seperti lazimnya susunan titah baginda yang mudah difahami, pada Sabtu lalu, Sultan Nazrin telah menyentuh tiga perkara. Salah satunya ialah berkaitan dengan pemilihan tarikh majlis pelancaran yang sinonim dengan beberapa detik bersejarah.

Titah baginda: “Tarikh 5 hari bulan Ogos, tarikh yang sangat bersejarah. Enam puluh enam tahun (66) lalu, pada jam 9.30 pagi, 5 Ogos 1957, bertempat di King’s House Kuala Lumpur (Carcosa Seri Negara), seramai 15 orang penandatangan utama, terdiri daripada Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivary bagi pihak Ratu Elizabeth II, lapan orang Raja Melayu, Tengku Mahkota Johor, dan lima orang Pembesar yang berkuasa dari Negeri Sembilan, serta saksi-saksi kepada penandatangan-penandatangan telah menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dengan menggunakan pena khas bertulis ‘Federation of Malaya Agreement 1957’.”

Sultan Nazrin juga bertitah bahawa “Perkara 3, Perjanjian tersebut menyatakan bahawa mulai 31 Ogos 1957, Negeri-negeri Melayu dan Selat akan tertubuh menjadi satu persekutuan yang baharu, dinamakan Persekutuan Tanah Melayu. Dengan sendirinya, perjanjian ini memansuhkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, dan berakhirlah kuasa dan kedaulatan Baginda Queen, ke atas Melaka dan Pulau Pinang, juga segala kuasa dan bidang kuasa baginda ke atas Persekutuan Tanah Melayu.”

Dalam ucapan yang disampaikan sebelum upacara menandatangani perjanjian, titah Sultan Nazrin, MacGillivray telah menyatakan bahawa beliau yakin perjanjian yang dimeterai akan dapat menyediakan segala keperluan sebuah kerajaan yang sesuai, kepada negara yang berbilang bangsa, dan negara baharu ini akan menghadapi masa hadapan yang agung lagi gemilang.

Titah baginda, 26 hari kemudian, pada 31 Ogos 1957, berkuatkuasalah Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu apabila Duke of Gloucester dengan rasminya menggugurkan kuasa dan wibawa penjajah British, diikuti dengan laungan ‘Merdeka’ oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka.

Dalam titahnya baginda menarik perhatian, “dengan penentuan Ilahi jua, majlis ini (pelancaran buku), berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail. Negara telah mengadakan majlis memperingati negarawan Tun Dr. Ismail pada 2 Ogos lalu di Dataran Merdeka, sempena 50 tahun tarikh kembalinya Dr. Ismail ke Rahmatullah.”

Sultan Nazrin merumuskan sifat dan nilai khidmat Dr. Ismail dengan bertitah, “begitu berharga jasa – begitu bernilai khidmat Dr. Ismail kepada negara bangsanya. Dr Ismail memiliki karakter tepat di luar – tepat di dalam. Lidahnya bertutur dalam bahasa yang sama meski berhadapan kumpulan yang berbeza.  Apa yang dikata, tetap dikota.”

Baginda seterusnya bertitah, “Dr. Ismail dikenali dengan semangat kebangsaan Melayu yang tulen, namun beliau tidak mengamalkan sifat rasis.”

Titah Sultan Nazrin, Dr Ismail berulang kali menegaskan bahawa masyarakat Malaysia ialah masyarakat berbilang kaum dengan budaya dan resam masing-masing, dan pentingnya bagi negara ini mempunyai pemimpin yang menuju ke arah mencipta sebuah negara Malaysia yang bersatu padu dalam kepelbagaian tersebut.

“Ratusan atau mungkin ribuan ucapan telah disampaikan oleh Dr. Ismail di dalam negara dan di pentas antarabangsa. Beta memilih untuk memetik ucapan bersejarah, berkemungkinan besar ucapan pertama yang beliau sampaikan selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 17 September 1957 – 17 hari selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.”

Baginda merujuk kepada ucapan sulung negara yang disampaikan oleh Dr Ismail di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) setelah Persekutuan Tanah Melayu diterima menjadi anggota badan dunia itu.

Dalam titah yang disampaikan di hadapan hadirin pelbagai kaum, agama dan latar belakang, dianggarkan sekitar 400 orang, Sultan Nazrin memetik ucapan Dr Ismail, iaitu (dikekalkan versi bahasa Inggeris):

“It is with pride and humility that I speak before you today so soon after the emergence of the Federation of Malaya as an independent and fully sovereign country on 31 August 1957.  I speak here today in this, the greatest assembly of nations, as the representative of a small nation, a nation of only six million people, living in an area of only 50,000 square miles…

“Although our material wealth and our standard of living compare very favorably with those of many nations in the world today, as a small nation, our basic strength lies not in these material things, but in the moral character of purposes of our people.  We have in Malaya three major racial groups: the Malays, the Chinese and the Indians, who have lived together for generations in peace and harmony.  Neither the difference in religion and cultural background, nor the difference in their economic and social status, has created an insuperable barrier towards the national unity of these races.  Our great desire is to have the right and good fortune to live as a free independent and united nation among the free nations of the world.  The achievement of this desire, through peaceful and constitutional means, through friendly negotiations and a spirit of compromise, is the result of the abiding moral strength inherent in each of the three racial communities living in Malaya today…”

Sultan Nazrin seterusnya berkongsi petikan ucapan Dr Ismail, ucapan terakhir yang disampaikan pada 2 Ogos 1973, sempena upacara merasmikan Perayaan Jubli Perak Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur.

Petikan itu berbunyi: “Oleh sebab sebahagian besar daripada penduduk negara kita ini terdiri daripada generasi muda dan mengingatkan bahawa corak negara kita ini ialah ‘multiracial’, ‘multicultural’ dan ‘multireligious’, maka sebarang langkah yang dijalankan oleh Kerajaan adalah berdasarkan kepada perimbangan dalam bentuk dan konsepnya, sesuai dengan toleransi dan aspirasi nasional. Hakikat ini mestilah difahami benar-benar oleh semua golongan tua dan muda.”

Dalam titah baginda, Sultan Nazrin menzahirkan bahawa “ketara Dr. Ismail berpendirian konsisten mengenai komposisi rakyat di negara ini dan pentingnya dilaksanakan perimbangan bentuk dan konsep supaya terbina sebuah negara bangsa yang warganya, meskipun terdiri daripada pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai budaya dan menganut pelbagai agama, hidup secara harmoni, kukuh berpadu dan teguh bersatu; sama ada beliau menyampaikan ucapan dalam forum antarabangsa, di PBB, mahupun dalam forum anjuran sebuah pertubuhan Melayu, GPMS yang berlangsung di kawasan penempatan Melayu di Kampung Baharu, Kuala Lumpur.”

Titah baginda di WTC, sebuah premis yang telah mencatatkan detik-detik penting sosiopolitik negara sepanjang lebih tiga lalu, juga menggariskan pengorbanan tiga anggota pasukan pertahanan dan keselamatan pelbagai kaum di tangan pengganas komunis. Mereka terdiri daripada Kapten Mohana Chandran yang gugur dalam pertempuran di Hutan Simpan, Ulu Kinta pada 13 Jun 1971; Ketua Polis Negara, Abdul Rahman Hashim yang dihujani dengan tembakan 11 das peluru pada pagi 7 Jun 1974 dan Ketua Polis Perak, Khoo Chong Kong yang meninggal dunia selepas ditembak oleh dua pengganas komunis di Ipoh pada 13 November 1975.

Baginda juga telah menzahirkan peranan dan fungsi DBP dalam menggunakan bahasa dan kesusasteraan dalam proses pembangunan negara. Ini termasuklah, menurut baginda, “penulisan berbentuk prosa dan puisi yang dihasilkan oleh sasterawan-sasterawan negara yang senantiasa menggemakan suara kemanusiaan yang merentasi sempadan bangsa, menyuarakan sedu sedan dan kepiluan yang dialami oleh ibu, anak, ayah dan isteri; begitu juga suara kemiskinan penoreh getah, nelayan, buruh kasar atau penarik beca, juga penderitaan anak yatim atau warga tua yang mengalami kesunyian di rumah orang tua tanpa keluarga.”

Baginda seterusnya menghuraikan, “tangisan dan kehibaan merupakan suara penderitaan – suara kepiluan – suara keinsanan yang merentasi kaum; dan para sasterawan memiliki deria batin yang tinggi, meluahkan dalam hasil karya mereka suara-suara kemanusiaan yang merentasi kaum dan tidak menunjukkan kebencian kepada mana-mana kaum.”

Saya senantiasa mengikuti dan akan berusaha mendapatkan teks titah baginda yang menekankan pelbagai aspek kehidupan rakyat negara. Kandungan Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menggariskan kepada empat bahagian yang memudahkan pembaca untuk mengikuti dan memahami kandungan dengan mudah.

Dalam ucapan pelancaran Sabtu lalu, Sultan Nazrin juga bertitah: “Setiap kali menzahirkan titah, beta menyedari bahawa raja pemerintah berperanan menjadi payung naungan kepada setiap rakyat daripada pelbagai kaum dan pegangan agama yang membuktikan taat setia kepada raja dan negara.”

Titah baginda kali ini sememangnya relevan dengan perkembangan sosiopolitik negara pada hari ini. Terutama ketika musim pilihan raya apabila politiking melampau mengatasi segala-segalanya. Misi mengejar politik menjadi keutamaan, bukannya perpaduan rakyat dan kesejahteraan negara dalam jangka panjang.

Isu-isu berkaitan 3R (raja, agama dan kaum) seringkali menjadi senjata utama dalam meraih sokongan menjelang pilihan raya dan semasa pilihan raya, yang telah disaksikan kebelakangan ini.

Sifat dan ciri kepelbagaian negara juga dijadikan polemik untuk tujuan menarik undi dan sokongan, seterusnya untuk mendapat mandat kuasa.

Kita tidak boleh menidakkan dan menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya merupakan aset penting untuk memacu kegemilangan negara.

Saya memetik di sini satu lagi bahagian yang amat menarik dan relevan untuk diselami dan dihayati. Titah baginda: “Setelah hampir 66 tahun mencapai kemerdekaan, warga jangan dihanyutkan oleh suara-suara bernada permusuhan yang boleh mencetuskan persengketaan, perselisihan dan perpecahan.”

“Negara memerlukan pemimpin yang mengamalkan sifat inklusif, pemimpin yang memiliki azam dan kebijaksanaan berupaya menganyam elemen yang pelbagai menjadi hamparan yang indah dan kukuh bertaut. Semoga harapan yang dizahirkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah pada 5 Ogos 1957, agar negara ini dilimpahi kebahagiaan yang berkekalan akan direalisasikan oleh setiap warga Malaysia,” titah baginda.

Tiga perenggan berikut mengukuhkan lagi hujah titah Sultan Nazrin.

“Dilahirkan dalam keluarga Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Bajau, Dayak, Iban dan sebagainya telah ditentukan oleh Allah Subhanahu Wataala. Kepelbagaian bangsa dan kaum itu ialah ciptaan Ilahi.

“Semasa menyampaikan khutbah terakhir pada 9 Zulhijah tahun 10 Hijrah, Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam bersabda antaranya. ‘Tuhan kamu adalah Esa, datuk kamu adalah satu, kamu semua berasal dari Adam dan Hawa, telah dijadikan dari tanah. Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah mereka yang paling bertakwa kepada Allah. Tidak ada kelebihan bangsa Arab terhadap bangsa lain, tidak ada kelebihan seorang putih ke atas seorang hitam, tidak juga seorang hitam memiliki kelebihan ke atas orang putih, kecuali dalam ketakwaan dan ibadahnya. Ketahuilah setiap Muslim itu adalah bersaudara kepada Muslim yang lain.  Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal soleh’.

“Firman Allah, amalan adil dan saksama Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam ketika menjalankan pemerintahan, hingga berjaya memakmurkan Madinah dan pesanan yang terkandung dalam khutbah terakhir Baginda, begitu juga amalan, amanat dan pesanan barisan pemimpin yang telah mengasaskan negara ini, hendaklah dijadikan panduan dan rujukan untuk memupuk perpaduan warga di negara kita.”

Bukan sahaja keseluruhan titah baginda wajar dihayati oleh setiap pemegang taruh dan aktor politik dalam meraikan kepelbagaian budaya, agama dan kaum di Malaysia, tetapi nada Sultan Nazrin di penghujung titah pada Sabtu lepas sememangnya telah menyentuh hati setiap hadirin.

Semoga kita mendoakan yang terbaik untuk negara. Kuasa dan undi sokongan bukan segala-galanya. – 7 Ogos, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen