AHLI politik yang berkempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) patut memberi tumpuan lebih kepada polisi untuk meningkatkan taraf hidup pengundi bukannya membuat serangan peribadi terhadap lawan politik mereka, kata pemerhati.
Bercakap kepada The Malaysian Insight, ahli politik dan parti mereka patut menggunakan peluang itu untuk memberi pencerahan kepada khalayak mengenai isu negeri, polisi dan agenda nasional.
Bagaimanapun, mereka mengakui umum juga lebih berminat untuk mendengar gosip berbanding perbincangan serius mengenai ekonomi.
PRN di enam negeri akan berlangsung pada 12 Ogos.
Pada kempen semasa, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan menteri besar sementara Selangor, Amirudin Shari kerap menjadi mangsa serangan.
Pada masa sama, pemimpin PH dan BN turut menguji kekuatan mereka dengan menyerang menteri besar sementara Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN).
Ahli akademi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata mengaibkan orang atau serangan peribadi berlaku apabila seseorang lebih suka membawa perkara itu di media sosial, mendorong orang lain untuk membalas sama ada di pentas politik atau di saluran media sosial.
Beliau menegaskan ahli politik sudah hilang fokus dengan tidak lagi bercakap mengenai perkara serius.
“Apabila seseorang bercakap mengenai orang lain, orang itu kemudian akan menyerang semula.
“Jadi jika dalam perhimpunan atau ceramah, anda diberi satu jam untuk bercakap, anda akan menghabiskan 45 minit menyerang lawan anda dan 15 minit untuk memperkenalkan dan mengakhiri ucapan anda.
“Hari berikutnya, kitaran yang sama berulang, kali ini dengan orang lain mendedahkan perkara itu di media sosial. Ia tidak akan berakhir.”
Mazlan berkata ini kerana penonton juga tidak sabar-sabar mendengar mengenai gosip politik.
“Jika di negara maju, orang ramai mahu mendengar mengenai rancangan anda untuk memperbaiki ekonomi dan meningkatkan taraf hidup.
“Tetapi di sini, kita lebih suka mendengar jenaka dan gosip politik. Bagi kita itu adalah hiburan.
“Oleh itu, tidak mengejutkan untuk melihat ribuan orang berkumpul untuk mendengar orang tertentu bercakap kerana mereka tahu mereka akan menikmati persembahan itu,” jelasnya.
Dr Awang Azman Awang Pawi menempelak PN, yang menurutnya menyerang gabungan PH-BN tanpa henti atas perkara peribadi serta membahaskan hujah agama yang cetek.
“Disebabkan ketidakcekapan mereka sendiri dalam mentadbir Kedah, Kelantan dan Terengganu, satu-satunya cara mereka boleh mengatasi PH-BN adalah dengan menyerang secara peribadi.
“Selangor, contohnya menghasilkan pelaburan bernilai berbilion-bilion sejak 2008, tetapi Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak boleh melakukan perkara sama. Itulah sebabnya mereka terpaksa melakukan serangan secara peribadi,” kata ahli akademik kanan Universiti Malaya itu. – 7 Ogos, 2023.
Berita penuh di sini.
Komen