Imran Khan ditahan sejurus mahkamah jatuh hukuman penjara


Gambar fail bekas perdana menteri Imran Khan tiba di Mahkamah Agung pada 26 julai lalu. Hari ini, Mahkamah Islamabad menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap beliau kerana menyembunyikan aset kewangan. – Gambar EPA, 5 Ogos 2023.

POLIS Islamabad telah menahan bekas perdana menteri Imran Khan pada Sabtu di kediamannya di bandar timur Lahore selepas mahkamah tempatan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun kerana menyembunyikan aset kewangannya. 

Unit media parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) memberitahu Xinhua bahawa bekas perdana menteri itu ditahan selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya membabitkan kes berkaitan penjualan hadiah negara secara haram.

Terdahulu, Hakim Daerah dan Sesi Tambahan di Islamabad Humayun Dilawar menjatuhkan hukuman terhadap Khan dalam kes Toshakhana (kes hadiah kebangsaan) dan melucutkan kelayakannya selama lima tahun daripada memegang sebarang jawatan.

Khan didakwa dengan sengaja menyembunyikan butiran hadiah yang dibelinya dari Toshaskhana, sebuah tempat penyimpanan di mana hadiah yang diberikan kepada pegawai kerajaan oleh pegawai asing disimpan dan kemudian dijual kepada pegawai yang membayar peratusan tertentu daripada jumlah sebenar.

Pengerusi PTI itu juga didakwa terbabit dalam amalan rasuah di bawah Seksyen 174 Akta Pilihan Raya 2017 dan mengemukakan afidavit palsu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk asetnya.

Timbalan Pengerusi PTI Shah Mahmood Qureshi memberitahu media bahawa pasukan peguam Khan sedang berusaha memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Islamabad terhadap keputusan itu. – Bernama, 5 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen