Bersih ingatkan jangan guna jentera kerajaan semasa kempen pilihan raya


Bersih dalam satu kenyataan hari ini berkata perdana menteri dan para menteri harus mengelak daripada mencampuradukkan tugasan kerajaan dan aktiviti kempen pilihan raya. – Gambar EPA, 5 Ogos 2023.

PENGGUNAAN jentera kerajaan bagi tujuan berkempen hendaklah dielakkan, tegas Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Dalam satu kenyataan hari ini, badan pemantau pilihan raya itu juga mengingatkan reformasi yang sering dilaungkan Pakatan Harapan (PH) perlu dilaksanakan, bukan sekadar janji kosong semasa kempen pilihan raya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas media melaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menaiki helikopter milik kerajaan ketika hadir ke Karnival Segalanya Felda di Felda Teloi Timur di Sik, Kedah semalam, yang turut dikritik pembangkang.

Felda Teloi Timur berada dalam kawasan DUN Jeneri, kerusi yang disandang menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor

Mengulas lanjut, Bersih berkata meskipun memahami kerajaan masih perlu menjalankan tugas mereka, namun ia hendaklah dijalankan dengan penuh profesional dan seboleh-bolehnya dipisahkan daripada kegiatan berkempen untuk parti atau calon mereka.

“Perdana menteri dan menteri-menteri wajib mengelak daripada mencampuradukkan tugasan kerajaan dan aktiviti kempen. 

“Untuk sebarang pengumuman dasar dan peruntukan, prinsip Tiada 3C (tiada kempen, tiada syarat atas pemberian, tiada calon di pentas) mesti dipatuhi dengan tegas,” katanya.

Tambahnya, bagi perjalanan tambahan untuk berkempen selepas tugasan kerajaan, perdana menteri dan menteri-menteri juga perlu membayar secara pro-rata kos berlebihan seperti kos minyak helikopter atau kenderaan. 

“Demi prinsip amanah, kos-kos ini hendaklah diisytiharkan secara terbuka untuk pemantauan orang awam.”

Bersih selain itu menekankan penggunaan jentera dan sumber kerajaan semasa pilihan raya menunjukkan perbincangan dan rundingan bersama pembangkang mesti disegerakan.

Rundingan itu katanya bagi menggubal undang-undang baharu bagi mengawal keputusan, tindakan dan penggunaan sumber kerajaan oleh kedua kerajaan sementara negeri dan kerajaan persekutuan dalam tempoh pilihan raya. – 5 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen