KEDAI serbaneka Watsons memohon maaf kepada mereka yang tersinggung dengan video Hari Raya syarikat itu, mengatakan ia tidak bermaksud menghasut perkauman tetapi untuk menyerlahkan cinta sejati.
Watsons Malaysia menghentikan siaran video dan mengeluarkan kenyataan menjelaskan skrip video itu berdasarkan kepada lagenda Dayang Senandung dan tidak bermaksud mencetuskan isu perkauman.
“Lagenda Dayang Senandung adalah cerita rakyat Melayu mengenai seorang wanita yang dilahirkan dengan sumpahan berkulit hitam tetapi dikurniakan dengan suara yang indah.
“Legenda ini menceritakan raja jatuh cinta dengan Dayang Senandung kerana suara dan kecantikan dalamannya.
“Sumpahan itu ditarik balik selepas Dayang Senandung melahirkan anak raja,” kata kenyataan itu.
Ia berkata video itu juga bertujuan menyerlahkan nilai moral kecantikan dalaman dalam legenda.
Video berdurasi 15 minit itu memaparkan seorang putera mencari suara merdu yang menyanyi dalam mimpinya. Beliau mengadakan uji bakat untuk mencari pemilik suara itu.
Seorang wanita bertudung muncul menyanyi dengan suara yang dimimpikan putera.
Putera raja itu meminta untuk melihat wajah di sebalik hijab, dan menunjukkan wanita “berkulit hitam”.
Wanita itu diejek dan diketawakan orang ramai, dan meninggalkan tempat itu. Bagaimanapun, dia kembali semula dengan wajah yang cerah untuk memberitahu putera raja ia hanyalah satu ujian bagi membuktikan ketulusannya. – 7 Jun, 2017.
Komen