Persatuan gesa henti politikkan projek tambak laut Pulau Pinang


Persatuan Kebajikan Nelayan Bayan Lepas berkata aktiviti penambakan laut tersebut tidak menjejaskan mata pencarian nelayan pantai kerana kawasan penangkapan ikan terletak jauh dari tapak projek PSI. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos 2023.

PROJEK Pulau Pinang Selatan (PSI) bukan bahan untuk dipolitikkan oleh mana-mana ahli politik mahupun Penang Tolak Tambak dan pertubuhan bukan kerajaan ketika pilihan raya negeri (PRN).

Setiausaha Persatuan Kebajikan Nelayan Bayan Lepas Fajinah Jaafar berkata aktiviti penambakan laut tersebut tidak menjejaskan mata pencarian nelayan pantai kerana kawasan penangkapan ikan terletak jauh dari tapak projek PSI.

“Selain itu, Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) yang diluluskan pada April telah memperincikan kesan projek, langkah kawalan alam sekitar dan inisiatif yang wajib diambil untuk menangani kesan alam sekitar serta kesan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri telah melancarkan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang menawarkan pelbagai bantuan, termasuk bot besar dan enjin berkuasa, jeti baharu, peluang pekerjaan dan perniagaan, serta peluang mengikuti latihan kemahiran seperti jurumudi kepada sembilan unit nelayan.

Beliau berkata Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) seharusnya memainkan peranan untuk memastikan anggota di selatan Pulau Pinang mendaftarkan nama untuk menerima manfaat PSI khususnya pakej SIMP.

Terdahulu, PEN Mutiara telah mengadakan sidang media di Unit Nelayan Sungai Batu, Bayan Lepas untuk menarik perhatian calon PRN Pulau Pinang tentang keutamaan bagi kemajuan komuniti pantai termasuk penolakan projek PSI.

PSI merupakan projek pembangunan tiga pulau buatan seluas 4,500 ekar dan merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang. – Bernama, 4 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen