MAHKAMAH sivil tidak mempunyai kuasa untuk mendengar kes keluar agama, kata Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini.
Hakim Quay Chew Soon membuat keputusan itu dalam kes seorang wanita berusia 57 tahun yang mahu mencabar penolakan Mahkamah Syariah terhadap permohonannya keluar daripada Islam
Dilahirkan sebagai seorang Kristian, wanita itu memeluk Islam apabila berkahwin pada 1995.
Beliau memfailkan permohonan untuk keluar daripada Islam di Mahkamah Tinggi Syariah selepas berpisah dengan suaminya pada 2013. Mereka mempunyai tiga anak bersama.
Beliau menyatakan hasratnya untuk kembali kepada kepercayaan asalnya.
Pada 2020, Mahkamah Tinggi Syariah menolak permohonannya, keputusan yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan Syariah tahun ini.
Wanita itu seterusnya memfailkannya ke mahkamah sivil untuk semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan Mahkamah Syariah.
Quay hari ini berkata mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa ke atas kes murtad.
“Isu penukaran agama, sama ada masuk atau keluar dari Islam, melibatkan prinsip kepercayaan dan akidah Islam.
“Ia memerlukan mereka yang benar-benar berilmu dan memahami agama sedalam-dalamnya,” katanya dalam alasan penghakimannya bertarikh 2 Ogos.
Quay menegaskan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan mengambil kuasa mahkamah sivil untuk mendengar kes Mahkamah Syariah.
“Keputusan Mahkamah Syariah kekal sehingga diisytiharkan beliau bukan lagi beragama Islam,” katanya.
Difahamkan, wanita itu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. – 4 Ogos, 2023.
Komen