DAP ancam kedudukan Melayu hanya momokan Perikatan, kata Loke


Diyana Ibrahim

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata dakwaan bahawa parti itu cuba mengancam hak dan menghakis kedudukan orang Melayu hanyalah momokan yang dimainkan Perikatan Nasional untuk meraih undi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos 2023.

DAKWAAN DAP cuba mengancam hak dan menghakis kedudukan orang Melayu hanyalah momokan yang dimainkan Perikatan Nasional (PN) untuk meraih undi, kata Anthony Loke.

Setiausaha agung DAP itu berkata dakwaan itu tidak berasas, dan hanya bertujuan untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu menjelang pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Loke berkata pengundi Melayu Terengganu tidak perlu takut dan termakan dengan persepsi dimainkan PAS, malah DAP juga tidak menghantar wakil bertanding di negeri pantai timur itu.

“Kalau mereka cakap macam itu, mereka ketandusan modal, jangan memperbodohkan rakyat sedangkan yang bertanding di sini banyak calon Barisan Nasional (BN).

“Calon Pakatan Harapan hanya berapa orang sahaja, DAP langsung tak ada calon di sini.

“Apa yang orang Melayu takut sangat dengan DAP, saya bukan boleh buat apa pun, saya menteri pengangkutan,” katanya pada sidang media selepas program turun padang di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu Alias Razak hari ini yang mendakwa kedatangan Anthony di negeri itu membuktikan dakwaan bahawa undi BN akan dapat DAP.

Sentimen undi BN dapat DAP sering dijadikan modal yang digunakan pemimpin PN dalam kempen pilihan raya negeri (PRN).

Anthony hadir di Terengganu hari ini dalam program turun padang dan beramah mesra dengan penduduk sekitar bagi membantu calon BN-PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya, sebelum ini pemimpin PAS Terengganu tidak mempunyai masalah dengan kehadiran beliau di negeri itu.

Tambah beliau kenyataan Alis menunjukkan PAS sebenarnya takut dengan bayang-bayang sendiri.

“Saya pernah datang rasmikan terowong di Dungun, Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar alu-alukan kedatangan saya.

“Saya juga pernah ke Kelantan, tidak ada masalah pun. Mereka (PAS) dah ada lama di sini, jadi kenapa mereka takut sangat dengan DAP?” soal Loke. – 3 Ogos 2023.

“Adakah mereka takut dengan bayang- bayang sendiri,” katanya.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen