Pemimpin, akar umbi MIC tetap sokong Perikatan, kata Parthiban


Ravin Palanisamy

Bekas ahli Jawatankuasa Pusat MIC K.R Parthiban (kiri) mendakwa beberapa pemimpin bahagian dan ahli akar umbi di Selangor tetap mahu menyokong calon Perikatan Nasional pada PRN. – Gambar Facebook, 3 Ogos 2023.

JIKA semalam Presiden MIC SA Vigneswaran memberi jaminan parti itu akan menyokong calon kerajaan perpaduan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini, beberapa pemimpin bahagian MIC dan ahli akar umbi di Selangor didakwa akan tetap memberi sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN).

Bekas ahli Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC K.R Parthiban mendakwa kebanyakan ahli parti menyatakan mereka bertekad tidak mahu membantu calon Pakatan Harapan (PH) di Selangor meskipun Vigneswaran sudah pun berjanji kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam satu perjumpaan khas semalam.

“Pucuk pimpinan boleh cakap apa sahaja yang mereka mahu, tetapi mereka tak faham masalah yang ahli akar umbi hadapi.

“Berdasarkan maklum balas yang saya terima, ahli (MIC) masih sokong PN di Selangor,” kata bekas ahli jawatankuasa Pusat (CWC) MIC itu kepada The Malaysian Insight.

Media sebelum ini melaporkan seramai 50 pemimpin MIC di seluruh Selangor bersama Parthiban berikrar akan menyokong calon PN di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN 12 Ogos ini.

Laporan itu bagaimanapun disangggah Vigneswaran semalam.

Malah beliau berikrar MIC akan membantu dalam gerak kerja bagi memastikan kemenangan calon PH dan BN dalam PRN di enam negeri. MIC sebelum ini menyatakan parti itu hanya akan menyokong calon Barisan Nasional (BN).

Mengulas perjumpaan khas Anwar bersama kepimpinan MIC Kebangsaan semalam, Parthiban berkata ahli akar umbi parti sudah tidak mahu lagi bekerjasama dengan PH.

“Walaupun presiden berikrar dan ucapan Anwar semalam nampak meyakinkan, namun beberapa pemimpin bahagian tetap tidak berpuas hati.

“Bukan semua pemimpin dan akar umbi MIC Selangor sokong PN dengan rela hati, mereka tak suka pun, tetapi inilah cara untuk mereka nyatakan bantahan terhadap PH,” katanya.

Parthiban digantung dan dipecat daripada MIC selepas hadir di majlis pelancaran Sekretariat Kelab Penyokong PN (India) di Tanjung Karang pada 23 Julai lalu, yang turut dihadiri Pengerusi PN Selangor Mohamed Azmin Ali.

Pada majlis itu, Azmin dilaporkan berkata Parthiban akan dilantik mengetuai sekretariat itu dan bertanggungjawab bagi zon Selangor Utara. – 3 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen