Perjumpaan Anwar-MIC jelas kebersamaan kerajaan perpaduan, kata Zahid


Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata perjumpaan khas Perdana Menteri  Anwar Ibrahim bersama kepimpinan MIC Kebangsaan hari ini juga menunjukkan solidariti dalam kalangan parti di bawah kerajaan perpaduan dan Barisan Nasional. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Ogos 2023.

PERJUMPAAN khas Perdana Menteri  Anwar Ibrahim bersama kepimpinan MIC Kebangsaan hari ini menunjukkan kebersamaan dan solidariti dalam kalangan parti di bawah kerajaan perpaduan dan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata pada pertemuan itu, MIC juga menyatakan pandangan dan hasrat bagi menjayakan agenda kerajaan perpaduan serta menunjukkan komitmen untuk membantu memenangkan calon BN dan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri kali ini.

“Walaupun ada pihak-pihak yang cuba menggambarkan hubungan antara Umno dan MIC yang katanya semakin renggang, ia lebih kepada tindakan terdesak dan muflis modal politik pihak tertentu apatah lagi menjelang PRN yang sedang berlangsung.

“Keberadaan bersama kepimpinan MIC hari ini juga, saya lihat ia masih teguh dan jelas menterjemahkan perpaduan yang terus utuh dipertahankan sejak tahun 1973 lagi,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini. 

Zahid yang juga pengerusi BN berkata kesetiaan parti dalam BN menjadi asas kepada banyak kejayaan yang telah diperoleh negara ketika ini.

Justeru beliau mahu kesinambungan persahabatan daripada peringkat kepimpinan sehingga akar umbi dapat kekal dan dipertahankan buat selamanya.

Terdahulu Anwar ketika berucap di hadapan ribuan anggota MIC dan presiden parti SA Vigneswaran di ibu pejabat MIC berkata beliau akan meneliti permintaan MIC agar wakil daripada parti itu dapat diberi peranan lebih besar dalam kerajaan.

Anwar berkata beliau juga akan berbincang dengan Zahid dan pemimpin parti lain dalam kerajaan perpaduan berhubung isu tersebut dan tidak melihat sebarang masalah berhubung perkara itu. – Bernama, 2 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen