Kalau Barbie menjadi Bibah


Faisal Tehrani

Margot Robbie bergambar di depan poster filem Barbie yang ditayangkan di seluruh dunia baru-baru ini, menerusi nukilan arahan Greta Gerwig. – Gamabr AFP, 1 Ogos, 2023.

APABILA Greta Gerwig disebut-sebut untuk mengarahkan filem Barbie (2023), saya serta-merta teringatkan kerjanya yang lebih awal iaitu Lady Bird (2017) dan Little Women (2019); dua filem yang membolehkan beliau mendapat perhatian elitis Hollywood termasuk dicalonkan di Oscar.

Sentuhan Gerwig tentu ditunggu memandangkan beliau nampaknya mempunyai kemampuan mengimbang sesuatu yang pop, dengan tanggungjawab seni dan politik. Maka Barbie yang dilihat mensasarkan remaja perempuan, nampaknya terangkat menjadi sesuatu yang lebih bermakna.

Ada banyak yang boleh dinukil mengenai Barbie di tangan Gerwig. Misalnya sisi pengarahan Gerwig memang agak tegas menurutkan skrip, dan tidak banyak ruang diizinkan untuk improvisasi.

Para pelakonnya pula dipupuk agar membawa sama pengalaman peribadi dalam lakonan. Makanya selalu di tangan Gerwig, pemeran akan menjadi bintang dan begitu menonjol secara sekata.

Hal ini terserlah dalam Barbie di mana pelakon utamanya Margot Robbie sebagai “Stereotypical Barbie” demikian utuh sehingga watak Barbie yang sepatutnya lurus itu menjadi satu roller coaster emosi yang beragam.

Lakonan Kate McKinnon sebagai Weird Barbie, pawang untuk menyembuhkan mana-mana Barbie yang aneh dan terkucil; dan Issa Rae selaku Presiden Barbie semuanya beroleh keadilan dari segi pemaparan dan tidak saling menenggelamkan.

America Ferrera yang pernah popular di sitkom Ugly Betty menjadi Gloria, staf Mattel yang membantu Barbie di dunia nyata. Lakonannya yang hanya membantu Robbie menjadi cukup berbekas khusus di adegan ucapan memotivasikan para Barbie di dunia patung.

Malah, di tangan Gerwig, pelakon lain yang wataknya kecil dengan jayanya diasuh agar dapat mencuri perhatian. Rhea Perlman suatu masa dulu terkenal di sitkom Cheers muncul sekejap sebagai roh Ruth Handler, pengasas Mattel dan pencipta Barbie, kehadirannya sudah sangat menusuk. Malah suara yang dipinjam Helen Mirren sebagai tukang cerita cukup menerjah benak.

Pelakon lelaki seperti Will Ferrell sebagai CEO Mattel, dan tentu sekali Ryan Gosling sebagai Ken, atau “Beach Ken” tampak meyakinkan. Segala suara kritikan terhadap Gosling yang dianggap tidak sesuai sebagai Ken terpadam sama sekali. Bahkan Gosling dilihat sangat cocok sebagai Ken dengan memanipulasi kebolehannya menari dan menyanyi. Ferrell seperti selalu lucu.

Sebetulnya kebolehan Gerwig sebagai pengarah Barbie adalah jauh lebih meluas sebagai pengarangnya. Selamat dikatakan, lakon layar dan cerita Barbie yang digarap Gerwig bersama-sama suaminya, Noah Baumbach, penulis Marriage Story (calon Oscar 2019 untuk kategori lakon layar) menjadi kekuatan sebenar filem Barbie ini.

Di tangan mereka, jangkaan Barbie akan menjadi filem feminis total meleset teruk. Bahkan, Barbie berbicara tentang kewujudan di mana kesempurnaan Barbie sebagai seorang Hawa dipertanyakan dengan kematian, kehodohan dek selulit, dan kecacatan “kerana Barbie kini tidak lagi berkaki terjingkit”.

Monolog panjang Gloria lakonan America Ferrera yang mensyarahkan peranan wanita di alam nyata mengingatkan kita kepada monolog panjang Laura Dern (cuba cari cuplikannya di Youtube) dalam Marriage Story. Tidak mustahil gabungan Noah Baumbach dan sentuhan wanita Gerwig mengangkat filem ini menjadi penyataan politik yang serius, malah manusiawi. Ferrera dalam ucapannya ke hadapan Barbie memerikan kesulitan menjadi perempuan;

“It is literally impossible to be a woman. You are so beautiful, and so smart, and it kills me that you don’t think you’re good enough. Like, we have to always be extraordinary, but somehow we’re always doing it wrong. You have to be thin, but not too thin. And you can never say you want to be thin. You have to say you want to be healthy, but also you have to be thin.

“You have to have money, but you can’t ask for money because that’s crass. You have to be a boss, but you can’t be mean. You have to lead, but you can’t squash other people’s ideas.

“You’re supposed to love being a mother, but don’t talk about your kids all the damn time. You have to be a career woman, but also always be looking out for other people.

“You have to answer for men’s bad behavior, which is insane, but if you point that out, you’re accused of complaining. You’re supposed to stay pretty for men, but not so pretty that you tempt them too much or that you threaten other women because you’re supposed to be a part of the sisterhood.

“But always stand out and always be grateful. But never forget that the system is rigged. So find a way to acknowledge that but also always be grateful. You have to never get old, never be rude, never show off, never be selfish, never fall down, never fail, never show fear, never get out of line.

“It’s too hard! It’s too contradictory and nobody gives you a medal or says thank you! And it turns out in fact that not only are you doing everything wrong, but also everything is your fault. I’m just so tired of watching myself and every single other woman tie herself into knots so that people will like us. And if all of that is also true for a doll just representing women, then I don’t even know.”

Ayat panjang seperti di atas selalu menjadi kepantangan dalam naratif filem. Mana boleh filem menyuguhkan dialog berjela? Dalam filem, cerita disampai dengan gambar bergerak dan bukannya dengan kata-kata. Dialog, apatah lagi monolog harus memain peranan sampingan saja.

Akan tetapi di tangan Gerwig, malah saya merasakan ia adalah kerjaan Baumbach, ayat panjang seperti di atas menjadi satu pesan sasterawi penuh seni, dan dalam masa melampaui kritikan tajam terhadap dunia yang patriarki tetapi juga dalam masa sama menjengkelkan untuk lelaki.

Di sini, di intinya naratif Barbie ini, filem yang sepatutnya biasa terangkat menjadi luar biasa dari segi tema dan penceritaan sehingga sangat bertenaga dari awal ke akhir. Di monolog ini kita menjadi jelas, Barbie bukan untuk audien perempuan sahaja tetapi untuk semua jantina, lapisan usia, dan kepercayaan.

Di hujung naratif apabila Barbie tekad menjadi Barbara (kalau muncul di Malaysia mungkin sebagai Bibah) dia tahu dirinya adalah perempuan secara biologisnya. Penutup ini mungkin satu lagi penyataan politik luar sedar oleh keracuan identiti gender (binari non binari dan entah apa lagi) yang menggelombang di Amerika waktu ini.

Selain kekuatan cerita dan lakonan, penataan seni Barbie memang melongokan. Untuk sebuah filem yang berlegar hanya dalam set dan studio, sudut sinematografinya juga amat menjanjikan. Lebih dari itu, Barbie juga memberikan tari dan halwa telinga iaitu muzik dan skor yang padu menghiburkan.

Siapa sangka Hollywood boleh setara Bollywood dari segi gerak dansa? Nyanyian Dua Lipa, Dance the Night pasti merebut pencalonan lagu asal terbaik.

Tidak mengejutkan jika Barbie tercalon Oscar tahun ini. Malah ia bakal menjadi satu kanun moden dari kilang Hollywood, sementelah pula ia sudah mencipta fenomena dalam kalangan semua. – 1 Ogos, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen