Filipina, EU akan teruskan rundingan FTA


Presiden Suruhanjaya EU Ursula von der Leyen berkata lawatannya ke Manila, Filipina memberi isyarat pencepatan "era baharu kerjasama" antara EU dan Filipina. – Gambar AFP, 1 Ogos, 2023

FILIPINA dan Kesatuan Eropah (EU) semalam bersetuju untuk menggiatkan kembali perdagangan dan melancarkan semula rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA), lapor Xinhua.

Kedua-dua pihak menjalin kerjasama baharu itu semasa pertemuan antara Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos dan Presiden Suruhanjaya EU Ursula von der Leyen di Manila.

Sebagai presiden Suruhanjaya EU pertama melawat negara Asia Tenggara itu dalam hampir enam dekad, von der Leyen berkata lawatannya memberi isyarat pencepatan “era baharu kerjasama” antara EU dan Filipina selain berikrar untuk membawa hubungan perdagangan dua hala “kepada peringkat seterusnya.”

Bagi pihaknya Marcos dalam ucapannya berkata beliau berbincang dengan ketua hubungan ekonomi EU dengan tumpuan khusus untuk menggiatkan semula perdagangan antara kedua-dua wilayah.

Marcos turut mengalu-alukan rundingan semula untuk perdagangan bebas Filipina-EU sambil menambah pentadbiran beliau akan bekerjasama dengan pakar EU untuk mencapai FTA dua hala selepas pusingan pertamanya berlangsung pada 2016 di Filipina.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada sokongan jangka panjang EU terhadap negaranya terutamanya mengenai pengiktirafan EU terhadap sijil pelaut yang dikeluarkan oleh Filipina yang akan memanfaatkan lebih 50,000 pelaut Filipina yang bekerja di atas kapal dengan bendera EU. – Bernama, 1 Ogos, 2023


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen