100,000 peluang kerja antara janji PH-BN Selangor


Alfian Z.M. Tahir

Manifesto PH-BN itu dilancarkan malam ini dengan 52 inisiatif jika pakatan itu kembali berkuasa selepas PRN kali ini. – Gambar Facebook Amirudin Shari, 31 Julai, 2023.

PAKATAN Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) melancarkan manifesto mengandungi 52 inisiatif sekiranya gabungan itu menang dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Menteri Besar sementara Amirudin Shari yang melancarkan manifesto itu malam ini berkata tawaran yang membawa tema ‘5 Tekad untuk 5 Tahun Kegemilangan Selangor’ itu dirangka khas bagi memenuhi lima matlamat utama menjadikan Selangor lebih gemilang.

“Dengan 5 Tekad ini, kita menawarkan 52 program dan usaha sebagai ikhtiar membawa negeri Selangor sebagai pemain utama rantau Asia Tenggara supaya dapat menjadi antara negeri paling maju di Asia.

“Inilah era kebertanggungjawaban baharu yang diperlukan untuk meningkatkan Selangor ke tahap antarabangsa, era baharu kebertanggungjawaban yang hanya dapat dicapai jika negeri dan Persekutuan berada dalam satu landasan dengan hala tuju yang sama,” katanya. 

Turut hadir pada pelancaran itu Pengerusi Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin, Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo dan Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim.

Antara fokus inisiatif dalam manifesto itu adalah menawarkan 100,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada orang muda Selangor dengan menarik pelaburan tempatan dan luar negara, mewujudkan tiga perbandaran baharu di Sepang, Sabak Bernam dan sepanjang jajaran Sungai Klang diterajui PKNS, MBI, dan sektor swasta dilengkapi dengan perumahan mampu milik untuk rakyat Selangor.

Inisiatif itu juga menyebut tawaran latihan TVET bagi 10,000 orang muda Selangor dengan kerjasama syarikat teknologi tinggi seperti Apple.

Dalam mengumumkan manifesto itu, Amirudin turut menyentuh soal kepentingan mengangkat agama yang disifatkan sebagai cahaya dan sumber inspirasi kehidupan. 

Beliau mengumumkan, kerajaan negeri akan menyediakan subsidi tambang dan kos mengerjakan haji berjumlah RM2,000 kepada 3,000 jemaah muassasah kali pertama ke Mekah serta menaikkan elaun imam, bilal, siak dan nazir.

Tambahnya, kerajaan negeri juga akan meningkatkan peruntukan bagi komuniti Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao untuk meningkatkan infrastruktur rumah ibadat mereka.

Bagi pembangunan mampan, Amirudin berkata Selangor akan menawarkan Kediaman Kita Selangor berjumlah 200,000 unit berharga RM250,000 ke bawah bagi warga Selangor.

Kerajaan negeri juga akan meluaskan penggunaan bas mini dan van melalui Selangor Mobility ke setiap daerah bagi mengurangkan kebergantungan kepada kereta.

Malah Amirudin berkata jajaran rel dari Klang ke Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Sabak Bernam akan diwujudkan jika pakatan itu kembali berkuasa. 

Pengerusi PH Selangor itu berkata bakal ada juga jajaran rel baharu dari Lapangan Terbang Antarabangsa ke Tanjong Sepat dan Sungai Pelek agar Wilayah Pantai Barat Selangor menjadi Koridor Perkhidmatan Rel.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen