PEMANGKU Pengerusi Bersih Shahrul Aman Mohd Shaari menggesa wakil rakyat menghentikan perbahasan laporan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga semua kes mahkamah yang sedang dibicarakan selesai.
Ketika ini, terdapat dua kes mahkamah mengenai cabaran kerajaan Pulau Pinang di Mahkamah Persekutuan dan kerajaan Selangor di Mahkamah Rayuan.
Bersih 2.0 bersama-sama 107 individu juga memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam minggu lepas untuk mencabar laporan persempadanan semula SPR.
“Kami masih berpandangan yang pembentangan rang undang-undang ini menghina mahkamah kerana prosiding perundangan masih berlangsung,” katanya kepada The Malaysian Insight selepas penyerahan memorandum di Parlimen hari ini.
“Kami menggesa ahli Parlimen kedua-dua pihak untuk menunggu keputusan kes-kes ini. Kami sudah berulang kali menyatakan supaya tunggu sehingga keputusan kes ini dikeluarkan.”
Ahli Parlimen pembangkang Ong Kian Ming dan Charles Santiago sudah memfalkan usul untuk menghentikan perbahasan laporan itu. – 28 Mac, 2018.
Komen