Muda persoal masa batal PJD Link


Ravin Palanisamy

Calon Muda untuk kerusi Bukit Gasing VKK Raja mendakwa pembatalan projek PJD Link adalah sebahagian daripada kempen pilihan raya Pakatan Harapan Selangor. – Gambar Facebook, 31 Julai, 2023.

MUDA hari ini mempersoalkan masa keputusan kerajaan Selangor membatalkan cadangan projek kontroversi Lebuh Raya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link)

Sambil mengalu-alukan berita pembatalan cadangan projek lebuh raya itu, VKK Raja, calon parti itu untuk Bukit Gasing, bagaimanapun mendakwa pengumuman Menteri Besar Amirudin Shari adalah sebahagian daripada kempen pilihan raya Pakatan Harapan (PH) Selangor.

“Menteri besar berkata sebab pembatalan projek itu adalah selepas membaca penilaian impak alam sekitar (EIA) dan penilaian impak sosial (SIA),” kata Raja pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

“Kebetulan yang pelik.

“Biar saya ingatkan semua yang laporan ini tersedia untuk beliau dan kerajaan negeri Selangor selama berbulan-bulan.

“Mereka boleh membatalkannya lama dahulu tetapi tidak berbuat demikian. Kami mengesyaki mereka membatalkannya kerana terdapat tekanan,” tambahnya.

Awal hari ini, Amirudin mengumumkan kerajaan Selangor membatalkan projek PJD Link.

Beliau berkata projek lebuh raya itu tidak memenuhi syarat kerajaan negeri, khususnya berkaitan dengan impak sosial projek itu.

PJD Link adalah laluan berkembar sepanjang 25.4km bermula selepas plaza tol NKVE di Lebuhraya SPRINT di Damansara. Ia akan berakhir di persimpangan lebuh raya Bukit Jalil.

Projek itu dirancang untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menampung pertumbuhan masa depan di Lembah Klang. Pemaju PJD Link menandatangani perjanjian konsesi dengan kerajaan pada 5 April 2022.

Raja memuji kemenangan itu kepada penduduk yang menentang projek itu selama bertahun-tahun.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan penduduk supaya tidak leka walaupun dengan pengumuman kerajaan Selangor itu.

“Kita kena waspada kerana jangan lupa PJD Link adalah versi penjenamaan semula Lebuhraya Kinrara Damansara (Kidex). Kita pernah tengok drama ini sebelum ini.

“Saya menyeru semua orang teruskan tekanan ini, terutama dengan musim pilihan raya.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan ‘Say no to PJD Link’ atas kerja keras mereka sepanjang tahun.

“Keputusan ini adalah bukti untuk semak dan imbang,” katanya.

Pada 2015, menteri besar Selangor ketika itu Mohamed Azmin Ali mengumumkan kerajaan menolak projek Kidex yang kontroversi, dengan mendakwa pemaju gagal memenuhi syarat ditetapkan kerajaan negeri.

Sementara itu, Raja mengambil kesempatan menggesa pengundi di Bukit Gasing supaya mengundi Muda, sambil memastikan projek itu tidak akan dihidupkan semula.

“Biar kami menjadi suara anda. Kami akan lantang dan konsisten.

“Ini ikrar kami (Muda). Kami akan pastikan projek itu tidak akan dihidupkan semula.

“Undi untuk Muda dan Parti Sosialis Malaysia adalah undi untuk memastikan projek ini tidak akan dihidupkan semula atau dijenamakan semula,” katanya. – 31 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen