Gelombang tolak BN di Kedah sudah reda, kata Mahdzir


Pengerusi Barisan Nasional Kedah Mahdzir Khalid berdepan satu lawan satu dengan calon dari Perikatan Nasional pada PRN 12 Ogos ini. – Gambar Facebook, 31 Julai 2023.

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Kedah Mahdzir Khalid berkata gelombang penolakan terhadap BN sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas dilihat kini telah reda.

Mahdzir yang juga calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu percaya sokongan pengundi terhadap BN sudah kembali seperti sebelum PRU15 lepas.

“Gelombang yang berlaku pada November lalu (PRU15) memang besar sehingga membolehkan Perikatan Nasional (PN) mendapat terlalu banyak undi…kini gelombang itu sudah tiada dan kita kembali kepada keadaan asal.

“Jadi tanpa adanya gelombang dan angin kuat itu, maka saya jangkakan akan berlaku persaingan sengit melibatkan PN dengan gabungan BN dan PH bagi memerintah negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas bersarapan bersama penduduk Kampung Kubang Kenyeng di Kuala Nerang hari ini.

Sementara itu, Mahdzir turut menggesa pengundi untuk membuat pilihan berdasarkan khidmat seseorang calon dan bukannya berpandukan kepada keadaan gelombang atau terpengaruh dengan sentimen semata-mata.

Mahdzir yang juga bekas menteri besar Kedah berhadapan satu lawan satu dengan penyandang kerusi DUN Pedu Mohd Radzi Md Amin daripada PN pada pilihan raya negeri 12 Ogos ini. – Bernama, 31 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen