Muda ikrar kembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan


Alfian Z.M. Tahir

Muda berikrar untuk mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan bagi mengembalikan kuasa undi ketiga ke tangan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2023.

CALON Muda berikrar untuk mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan bagi mengembalikan kuasa undi ketiga ke tangan rakyat.

Dalam satu kenyataan Muda menggesa pengundi di Selangor mengundi calon mereka pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang bagi mengukuhkan masyarakat dan melakar era baharu perwakilan dan kemajuan demokrasi.

“Setiap undi kepada calon Muda di Selangor ialah mandat untuk menyuarakan hasrat Pilihanraya Kerajaan Tempatan.

“Jawatan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk sesebuah masyarakat. Ini kerana sebahagian besar punca kuasa dan peraturan yang mentabdir taman-taman serta kejiranan datang dari kerajaan tempatan.

“Malangnya di Malaysia tidak seperti negara-negara lain, pelantikan Ahli Majlis PBT dibuat melalui lantikan kerajaan negeri dan tidak melalui proses pilihan raya kerajaan tempatan.

“Pelantikan ini seringkali dikaitkan dengan lantikan politik yang diberikan dan diatur mengikut wakil parti yang membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Parti berasaskan belia itu menjelaskan pilihan raya kerajaan tempatan memberi kuasa kepada rakyat untuk bersuara secara langsung dalam memilih wakil mereka yang bertanggungjawab mengurus dan menyediakan perkhidmatan penting kepada komuniti. 

Mereka berkata pilihan raya itu memberi kuasa kepada rakyat untuk bersuara secara langsung dalam memilih wakil mereka yang bertanggungjawab mengurus dan menyediakan perkhidmatan kepada komuniti mereka.

“Sudah tiba masanya Malaysia mempertimbangkan dengan serius sistem tadbir urus tiga peringkat yang jauh lebih demokrasi dan telus.

“Adalah jelas bahawa masyarakat tempatan sering mendapati diri mereka tidak diwakili kerana pelantikan politik majlis tempatan oleh kerajaan negeri,” kata Muda.

Pada Februari kerajaan berkata pilihan raya untuk ahli majlis kerajaan tempatan bukan sebahagian daripada rancangan kerajaan perpaduan pada masa ini.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kerajaan mahu memberi tumpuan kepada tujuh lagi kawasan yang mengutamakan kesejahteraan orang ramai seperti jalan raya yang lebih selamat, longkang yang lebih bersih dan tandas awam.

Pilihan raya kerajaan tempatan digantung semasa Proklamasi Darurat dalam Konfrontasi Malaysia-Indonesia pada 1960-an.

Pada 1976 Akta Kerajaan Tempatan diluluskan dan ia memansuhkan pilihan raya kerajaan tempatan. Kerajaan negeri kemudiannya melantik ahli majlis.

Semasa pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini dari 2018-2020, menteri perumahan dan kerajaan tempatan Zuraida Kamaruddin berkata negara tidak mampu untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan. – 31 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen