KETUA Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) Zakaria Arshad memuji langkah Putrajaya menamakan Idris Jala untuk menyelesaikan kemelut syarikat itu.
Zakaria berkata, pemilihan ketua pegawai eksekutif Pemandu itu dapat mengelakkan daripada siasatan menjadi berat sebelah.
“Bagus tindakan kerajaan tu. Tak adalah hanya audit dalaman (IA) yang juga staf saya juga. Sebab nanti kalau staf saya yang buat, dia pun serba salah,” kata Zakaria kepada pemberita selepas keluar daripada Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.
“Saya rasa keputusan yang bijak daripada kerajaan untuk melantik pihak ketiga untuk menyelesaikan kemelut FGV. Saya rasa sangat adillah.”
Zakaria yang kini dipaksa bercuti oleh FGV bersama tiga yang lain dipanggil SPRM untuk memberikan keterangan.
Selepas empat jam memberikan keterangan kepada badan anti rasuah itu, Zakaria keluar menemui pemberita.
Hari ini, Putrajaya menamakan Idris yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Associates Sdn Bhd Idris Jala untuk menyelamatkan keadaan di FGV.
Zakaria memberitahu pemberita, beliau memberikan kenyataan kepada SPRM berhubung transaksi yang melibatkan unit FGV Delima Oil Products (DOP) dan Safitex serta kes lain.
Apabila ditanya tentang gesaan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Dr Puad Zarkashi agar beliau dan Pengerusi FGV Isa Abdul Samad meletakkan jawatan, Zakaria berkata: “Kenapa saya yang harus letak jawatan pula? Kecuali kalau saya salah bolehlah saya letak jawatan. Tak salah nak letak jawatan buat apa?”
Zakaria turut menjelaskan, kontrak beliau bersama FGV ialah selama tiga tahun dan baru berkhidmat selama setahun dua bulan.
“Sudah tentu saya mahu terus berkhidmat dengan FGV,” katanya sambil tersenyum.
Beliau berkata, layanan yang diterima daripada SPRM amat baik dan masih memerlukannya memberi keterangan kepada badan pencegahan rasuah itu.
“Memang ada sambungan lagi. Insya-Allah ada lagi. Esoklah.”
FGV dilanda krisis semalam apabila ia mengumumkan kepada Bursa Malaysia lembaga pengarah mengarahkan Zakaria dan Tifli bercuti bagi satu tempoh yang tidak dinyatakan.
Semasa sidang akhbar yang diadakan secara tergesa-gesa semalam, Isa berkata kedua-duanya diarahkan bercuti untuk membolehkan audit dalaman sewajarnya dilakukan ke dalam urus niaga tertentu.
Isa berkata siasatan PricewaterhouseCooper terhadap transaksi yang melibatkan unit FGV DOP dan Safitex yang mendedahkan beberapa kesalahan dikaitkan dengan rasuah. – 7 Jun, 2017.
Komen