Bila mahu noktahkan rasuah pilihan raya?


G Manimaran

Soal rasuah dan sogokan semasa tempoh berkempen musim pilihan raya sering menjadi isu, diperkatakan dan dibangkitkan, khususnya oleh calon dan parti lawan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2023.

DUA hari pertama kempen 14 hari pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri telah berlalu. Fasa pertama pertarungan sengit. 

Nampaknya satu isu yang sama berulang. Ia berkenaan dengan pengumuman projek dan bantuan kewangan yang dibuat oleh dua pemimpin kerajaan pusat.

Sama ada mereka pergi ke  negeri yang terlibat dalam pilihan raya mahupun sebaliknya, iaitu jauh dari lokasi pilihan raya.

Kontroversi berkait dengan pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan salah seorang timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi, yang dibuat beberapa hari sebelum penamaan calon dan sebelum kempen rasmi PRN bermula.

Seperti lazimnya, terdapat dua pandangan yang berbeza dalam isu ini. Pertama, ada pihak yang mendakwa wujud unsur-unsur rasuah dan sogokan dalam pengumuman yang dibuat. 

Pandangan kedua menyatakan tidak sebab pengumuman sedemikian dibuat secara umum dan bukan ketika tempoh berkempen.

Maka wujud kekaburan daripada aspek kedudukan individu yang membuat janji sebelum tempoh kempen. Persoalan seterusnya adalah pengumuman sedemikian dibuat. 

Dan ada pihak yang mahu pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan – menyiasat dan mengambil tindakan.

Malah ada yang mempersoalkan kebebasan SPRM dalam mengambil tindakan.

Kita perlu melihat aspek tempoh berkempen di bawah kerangka perundangan semasa. Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mendefinisikan tempoh berkempen sebagai satu jangka masa mana-mana calon atau ejen pilihan rayanya dibenarkan mengadakan kempen pilihan raya di dalam bahagian pilihan raya calon bertanding.

Tempoh ini ditakrifkan bermula dari masa pegawai pengurus mengisytiharkan bahawa suatu pengundian akan dijalankan di dalam bahagian pilihan raya yang baginya dia dilantik dan berakhir apabila tamat hari sebelum hari mengundi.

Ini bermaksud daripada kerangka perundangan sedia ada pengumuman dibuat oleh perdana menteri dan timbalan perdana menteri tidak salah. 

Ia bukan satu kesalahan daripada sudut undang-undang semasa, dan tidak merujuk kepada calon-calon yang bertanding secara khusus.

Kedua pengumuman khusus yang dibuat oleh perdana nenteri meliputi kepentingan rakyat secara am di seluruh negara bukannya di negeri-negeri yang mengadakan pilihan raya sekarang, dengan pengundian akan berlangsung pada 12 Ogos ini.

Satu lagi ialah perlu ada maksud dan tujuan pemberian bantuan iaitu memberikan wang, projek dan sebagainya bagi tujuan memancing undi. Bermakna diberikan dengan tujuan adanya balasan.

Sebagai contoh jika seseorang itu menyatakan beliau akan memberikan sesuatu dengan alasan akan diberikan undi atau mahu mendapat undi, ia akan menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Sekali lagi perlu dilihat wujud kekaburan dalam peruntukan undang-undang pilihan raya semasa.

Jika mana-mana pihak lawan berpendapat bahawa pengumuman Zahid dan Anwar sebagai satu bentuk sogokan dan rasuah yang bertentangan dengan semangat Akta Kesalahan Pilihan Raya, perkara tersebut boleh dibawa ke mahkamah dalam bentuk petisyen pilihan raya.

Pernah ada kes yang sama yang menjadi pertikaian pada tahun 1981 susulan pengumuman dibuat oleh seorang anggota jemaah menteri semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) Pangkalan Kota, Pulau Pinang.

Kes itu timbul apabila Tengku Razaleigh Hamzah, yang berkhidmat sebagai mmenteri kewangan pada masa itu, berkempen menyokong calon Barisan Nasional (BN), Lim Keaw Siew. 

Tengku Razaleigh didakwa membuat janji sekiranya calon BN menang, beliau akan memberikan peruntukan besar untuk membantu sekolah-sekolah Cina di kawasan tersebut.

Calon BN menang dalam PRK itu. Mahkamah yang mendengar petisyen yang difailkan memutuskan bahawa tidak ada perbuatan rasuah kerana mengikut hakim, Tengku Razaleigh berjanji atas kedudukannya sebagai menteri yang menjalankankan urusan rasmi pentadbiran kerajaan dan bukan atas dasar peribadi.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, situasi atau kes seumpama itu wujud dalam banyak PRK sejak selepas itu. Perkara tersebut dibangkitkan ketika pilihan raya umum dan PRK, dan dalam kebanyakan masa jarang dibawa ke mahkamah. Ia hanya tinggal setakat mengeluarkan kenyataan media mengecam dan mengkritik amalan seumpama itu.

Maka, perlu usaha untuk menangani kekaburan dalam undang-undang untuk menghuraikan sebagai rasuah ataupun sebaliknya. Termasuk pengumuman kerajaan persekutuan sebelum dan semasa tempoh pilihan raya.

Jika tidak ia hanya akan tinggal sebagai kenyataan politik, bukannya memperkasakan proses pilihan raya. Ataupun adalah lebih tegas untuk mengatakan peruntukan semasa tidak cukup untuk mengatakan pengumuman sedemikian merupakan satu bentuk amalan rasuah ketika pilihan raya.

Sama ada dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya mahupun Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. 

Kita ada akta yang hampir berkaitan iaitu mengatakan sebagai perkara yang perlu ditegah ketika pilihan raya, tetapi tidak menjurus ke arah yang lengkap dan sempurna.

Dalam situasi terkini sehingga hari penamaan calon kedua-dua perdana menteri dan timbalan perdana menteri tidak berkempen untuk calon. 

Sebaliknya mengumumkan projek dan dasar atas kapasiti umum mereka sebagai anggota pentadbiran kerajaan pusat.

Pun begitu, daripada segi tanggungjawab moral persaingan yang adil, pengumuman seumpama itu boleh dielakkan sehingga pilihan raya berakhir. 

Tetapi pada hari ini tiada peruntukan yang lebih jelas mengenai tindakan-tanduk dan amalan sedemikitn.

Ada juga alasan bantuan kewangan dan sesuatu program sewaktu pilihan raya itu sudahpun dibuat menteri atau anggota Majlis Kerajaan Negeri (exco) sebelum pembubaran Parlimen atau DUN.

Maka wujud pelbagai situasi kabur yang memerlukan reformasi undang-undang supaya semua pihak jelas mengenai soal rasuah dan sebagainya.

Saya pernah membangkitkan mengenai isu ini dalam artikel pada awal tahun ini.

Zahid yang juga presiden Umno dan pengerusi BN menegaskan golongan belia di negara ini memerlukan peruntukan yang cukup untuk mereka menjalankan aktiviti. 

Menurutnya, pemberian bantuan kewangan tersebut bukan bermaksud beliau cuba menormalisasikan rasuah sebagaimana dakwaan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersetuju menyediakan geran tambahan bergantung kepada prestasi golongan itu dalam PRN 12 Ogos ini. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki menjelaskan pemberian geran bernilai RM350,000 yang diumumkan Zahid itu tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah. 

Beliau menjelaskan, sebagai sebuah kerajaan yang mentadbir negara, ia berhak untuk memberi inisiatif yang difikirkan wajar untuk rakyat.

Pada pandangan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Zahid secara jelas mengenakan syarat jumlah peruntukan itu akan dinaikkan sekiranya parti kerajaan menang dalam PRN.

“Peruntukan yang bukan untuk semua badan yang sejenis bagi seluruh negara melanggar prinsip tidak berkempen, manakala kenyataan mengaitkan jumlah peruntukan kepada kemenangan PRN, terang-terang melanggar prinsip tidak bersyarat. Ini berlainan dengan pengumuman perdana menteri dalam Ekonomi Madani yang merangkumi seluruh rakyat Malaysia,” kata badan itu.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) mempertahankan pengumuman Zahid dan menyatakan pengumuman beliau pula dibuat sebelum hari penamaan calon. Bersih menggariskan prinsip 3C baru-baru ini, tetapi ia bukanlah satu peruntukan bertulis.

Prinsip 3C Bersih itu lebih bersifat nasihat dan panduan kepada parti dan calon yang bertanding untuk mengelakkan sebarang tindakan yang dilihat sebagai rasuah, sogokan dan penjamuan.

Berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, rasuah disifatkan berlaku apabila calon atau mana-mana individu membeli undi, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dengan memberi atau menawarkan wang, hadiah, pekerjaan atau pinjaman ketika atau selepas pilihan raya.

Peruntukan berkaitan dengan penyamuan (Seksyen 8) menyebut “tiap-tiap orang yang, secara rasuah, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain, sama ada sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung memberikan atau mengadakan atau menyebabkan supaya diberikan atau diadakan, atau yang menyertai hal memberikan atau mengadakan itu, atau yang membayar atau mengaku janji akan membayar kesemuanya atau sebahagiannya, belanja bagi memberikan atau mengadakan apa-apa makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan, atau apa-apa wang atau tiket atau apa-apa cara atau tipu daya lain untuk membolehkan apa-apa makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan didapatkan, bagi atau untuk mana-mana orang bagi maksud untuk mempengaruhi secara rasuah orang itu atau mana-mana orang lain supaya memberikan atau tidak memberikan undinya dalam pilihan raya itu atau oleh sebab mana-mana orang itu atau mana-mana orang lain mengundi atau tidak mengundi atau akan mengundi atau tidak akan mengundi dalam pilihan raya itu, dan tiap-tiap pemilih atau pengundi yang, secara rasuah menerima atau mengambil apa-apa makanan, minuman, atau makanan atau minuman ringan atau bekalan itu atau mana-mana wang atau tiket itu atau yang menggunakan apa-apa cara atau tipu daya lain itu untuk membolehkan makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan itu didapatkan bersalah atas kesalahan menjamu.”

Seksyen 10 menyediakan peruntukan berkaitan kesalahan menyogok. Seksyen ini menggariskan kesalahan daripada sembilan sudut, merangkumi tempoh sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.

* Pertama, memberikan, meminjamkan, atau bersetuju untuk memberikan atau meminjamkan, atau menawarkan, menjanjikan, atau berjanji untuk mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan, apa-apa wang atau balasan bernilai kepada atau untuk mana-mana pemilih atau pengundi, atau kepada atau untuk mana-mana orang bagi pihak mana-mana pemilih atau pengundi atau kepada atau untuk mana-mana orang lain, bagi mendorong mana-mana pemilih atau pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi, atau yang secara rasuah melakukan apa-apa perbuatan yang disebut terdahulu oleh sebab pemilih atau pengundi itu telah mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pilihan raya.

* Kedua, kesalahan memberikan atau mendapatkan, atau bersetuju untuk memberikan atau mendapatkan, atau menawarkan, menjanjikan, atau berjanji untuk mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan, apa-apa jawatan, kedudukan atau pekerjaan kepada atau untuk mana-mana pemilih atau pengundi, atau kepada atau untuk mana-mana orang bagi pihak mana-mana pemilih atau pengundi, atau kepada atau untuk mana-mana orang lain.

* Ketiga, perbuatan memberikan apa-apa pemberian atau pinjaman, atau membuat apa-apa tawaran atau janji atau mendapatkan apa-apa jawatan, kedudukan atau pekerjaan atau membuat apa-apa persetujuan yang disebut terdahulu kepada atau untuk mana-mana orang bagi mendorong orang itu supaya mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan mana-mana orang dipilih, atau untuk mendapatkan undi mana-mana pemilih atau pengundi dalam mana-mana pilihan raya.

* Keempat, kesalahan pemberian, pinjaman, tawaran, janji, pemerdapatan, atau persetujuan itu, mendapatkan atau mengaku janji, berjanji atau berusaha untuk mendapatkan mana-mana orang dipilih, atau untuk mendapatkan undi mana-mana pemilih atau pengundi dalam sesuatu pilihan raya.

* Kelimanya, mendahulukan atau membayar atau menyebabkan supaya dibayar apa-apa wang kepada, atau untuk kegunaan, mana-mana orang lain dengan niat supaya wang itu atau mana-mana bahagiannya dibelanjakan sebagai sogokan dalam mana-mana pilihan raya.

* Keenam, pemilih atau pengundi dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, menerima, bersetuju, atau membuat kontrak untuk mendapatkan apa-apa wang, pemberian, pinjaman, atau balasan bernilai, jawatan, kedudukan atau pekerjaan, untuk dirinya atau untuk mana-mana orang lain, kerana mengundi atau bersetuju untuk mengundi atau kerana tidak mengundi atau bersetuju untuk tidak mengundi dalam mana-mana pilihan raya itu.

* Ketujuh, menerima apa-apa wang atau balasan bernilai oleh sebab mana-mana orang mengundi atau tidak mengundi atau mendorong mana-mana orang lain supaya mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pilihan raya itu.

* Kelapan, melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, oleh sebab dan sebagai bayaran kerana mengundi atau telah mengundi atau kerana bersetuju atau telah bersetuju untuk mengundi mana-mana calon dalam sesuatu pilihan raya, atau oleh sebab dan sebagai bayaran kerana dia telah membantu atau bersetuju untuk membantu mana-mana calon dalam sesuatu pilihan raya, memohon kepada calon itu, atau kepada ejen atau ejen-ejennya, untuk mendapatkan pemberian atau pinjaman apa-apa wang atau balasan bernilai, atau untuk mendapatkan janji mengenai pemberian atau pinjaman apa-apa wang atau balasan bernilai atau untuk mendapatkan apa-apa jawatan, kedudukan atau pekerjaan atau untuk mendapatkan janji mengenai jawatan, kedudukan atau pekerjaan.

* Kesembilan, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang bagi pihaknya, bagi mendorong mana-mana orang lain supaya bersetuju untuk dinamakan sebagai seorang calon atau supaya tidak menjadi seorang calon atau supaya menarik diri jika dia telah menjadi seorang calon, memberikan atau mendapatkan apa-apa jawatan, kedudukan atau pekerjaan, atau bersetuju untuk memberikan atau mendapatkan atau menawarkan atau berjanji untuk mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan apa-apa jawatan, kedudukan atau pekerjaan, kepada atau untuk orang lain itu, atau memberikan atau meminjamkan, atau bersetuju untuk memberikan atau meminjamkan, atau menawarkan, atau berjanji untuk mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan apa-apa wang atau balasan bernilai kepada atau untuk mana-mana orang atau kepada atau untuk orang lain itu, atau kepada atau untuk mana-mana orang bagi pihak orang lain itu.

Soal rasuah dan sogokan semasa tempoh berkempen musim pilihan raya sering menjadi isu, diperkatakan dan dibangkitkan, khususnya oleh calon dan parti lawan. 

Sudah pasti ia akan berterusan sehingga negara menggubal satu undang-undang yang lebih komprehensif. Sehingga kini ia kekal menjadi antara polemik utama yang menjadi perhatian kesemua pemegang taruh.

Justeru itu, sudah sampai masa untuk memantapkan kerangka perundangan dengan memperkasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya, dan segala undang-undang lain yang berkaitan.

Amalan tuding-menuding antara satu sama lain yang berterusan perlu dinoktahkan. Parti politik mempersalahkan satu sama lain. 

Sampai bila ia perlu dibiarkan berterusan. Kuasa SPR adalah berbatas dalam soal ini. Kuasa badan pengurusan pilihan raya perlu diperkasakan untuk memastikan gelanggang yang adil, saksama dan berintegriti sepanjang masa.

Sempadan tempoh pilihan raya, dan peranan kerajaan persekutuan ketika PRN juga memerlukan penjelasan dan definisi yang lebih kukuh. 

SPR bukan setakat mengurus pilihan raya, tetapi wajar diberikan kuasa untuk menyiasat dan mendakwa pihak yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya. Termasuklah aspek unsur rasuah dan sogokan yang masih kabur. – 31 Julai, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen