DUN Selangor lulus usul tergempar bahas laporan persempadanan semula


Diyana Ibrahim

Usul tersebut dicadang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Gasing Rajiv Rishakaran dibawah peraturan 17 yang mengariskan peraturan tertentu melibatkan kepentingan orang ramai disegerakan untuk dibahaskan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2018.

SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan usul tergempar untuk membahaskan laporan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan dibentangkan dan diluluskan di Parlimen hari ini.

Usul tersebut dicadang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Gasing Rajiv Rishakaran di bawah peraturan 17 yang mengariskan peraturan tertentu melibatkan kepentingan orang ramai disegerakan untuk dibahaskan. 

Rajiv berkata usul tersebut juga bertujuan untuk memberi cadangan baru kawasan pilihan raya yang lebih seimbang dan adil dengan mengkritik dan menggesa SPR menarik semula laporan tersebut.

“Kita menggesa SPR untuk tarik balik cadangan persempadanan semula dan kemukakan satu cadangan persempadanan semula yang baru yang adil dan cadangkan kawasan pilihan raya yang seimbang dari segi bilangan pengundi selaras dengan prinsip satu org satu undi,” katanya.

Menurut Rajiv, usul tersebut berkepentingan ramai dan akan memberi impak terhadap keadilan proses pilihan raya yang akan datang.

“Perkara ini tertentu kerana ia merujuk kepada tindakan SPR yang tak laksanakan pendengaran awam, (sedangkan) ada lebih 100 kumpulan membantah syor-syor proses persempadanan semula. 

“Perkara ini berkehendak disegerakan kerana laporan persempadanan semula akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen saya jangka sekarang akan mula,” katanya lagi.

Speaker DUN Hannah Yeoh meluluskan usul tergempar tersebut kerana ia menepati tiga syarat dibawah Peraturan 17.

“Oleh demikian menurut peraturan 17 (3A) peraturan tetap Dewan, saya dengan ini meluluskan usul ini sehingga 2.30 petang,” kata speaker.

Kali terakhir urusan persempadanan dibuat pada 2003. Perlembagaan Persekutuan membenarkan urusan persempadanan dibuat bagi tempoh minimum setiap lapan tahun sekali atau sekiranya berlaku pengwujudan wilayah baharu atau penambahan atau pengurangan bilangan kerusi dewan.

Di Parlimen hari ini kumpulan masyarakat sivil dan ahli politik pembangkang berarak sebagai bantahan kepada cadangan persempadanan semula bahagian pilihan raya yang akan dibentangkan  Najib.

Antara pemimpin pembangkang yang turut hadir ialah Muhyiddin Yassin, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang, Mohammad Sabu dan Nurul Izzah Anwar. – 28 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen