KPT bukan polis pantau mahasiswa berpolitik, kata menteri


Mohamed Khaled Nordin berkata mahasiswa diberikan kebebasan berpolitik tetapi mesti memahami had tertentu yang perlu diberi perhatian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2023.

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) bukan polis untuk memantau pembabitan mahasiswa dalam aktiviti politik sepanjang musim Pilihan Raya Negeri di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, kata menterinya Mohamed Khaled Nordin.

Katanya kementerian malah memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik, namun mereka diingatkan supaya memahami had tertentu yang perlu diberi perhatian.

“KPT bukan anggota polis. Kami beri mereka (mahasiswa) kebebasan dan tidak pernah mengongkong untuk terbabit dengan politik… tidak kisah mana-mana parti politik sekalipun, namun jangan bawa politik kepartian ke dalam kampus.

“Di luar sana, terpulang kepada mereka sama ada mahu bertanding atau berkempen sekalipun. Lagi pula Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sudah banyak kali dipinda,” katanya kepada pemberita selepas melawat 
Universiti Malaysia Terengganu di Kuala Nerus, Terengganu hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan kelewatan pembayaran Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU) kepada mahasiswa sehingga melepasi semester, beliau berkata KPT akan melakukan semakan lanjut berhubung perkara itu.

“Secara asasnya semua penuntut OKU yang disahkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) layak mendapat bantuan. Isu lambat itu kita akan baiki, saya akan semak,” katanya.

Terdahulu, tular kenyataan oleh wakil mahasiswa OKU di institusi pendidikan mendakwa kelewatan KPT dalam menyalurkan BKOKU yang berbentuk bantuan wang saku dan yuran pengajian hingga menjejaskan perbelanjaan mereka. – Bernama, 30 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen