GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tidak membuat sebarang pengumuman dasar dan peruntukan oleh kementerian dan agensi Persekutuan semasa pilihan raya enam negeri.
Bersih merujuk kepada pengumuman Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKDW) memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 bagi Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
Zahid turut memperuntukkan RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 untuk kelab bermotosikal di negeri itu sempena program Sentuhan Kasih Desa.
“Bersih menggesa Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mematuhi larangan 3C: ; ‘Tiada Syarat’, ‘Tiada Kempen’ dan ‘Tiada Calon’ supaya tidak menyalahgunakan kuasa dan pecah amanah.
“Zahid dalam ucapannya jelas mengenakan syarat apabila menambah jumlah peruntukan ini akan ditambah sekiranya partinya menang dalam PRN ini dan berkempen di hadapan orang muda yang hadir untuk memenangi ‘gelombang merah biru’ merujuk kepada parti dalam kerajaan campuran pada pilihan raya ini.
“Peruntukan khas kepada tiga badan sosial di Terengganu dan bukan kepada semua badan serupa di seluruh negara telah melanggar prinsip ‘Tiada Kempen’ manakala kenyataan Zahid mengaitkan jumlah peruntukan dengan kemenangan PRN jelas melanggar prinsip ‘Tiada Syarat’.
“Ini berbeza dengan pengumuman PM Anwar mengenai rangka kerja ekonomi baharu ‘Ekonomi Madani’ yang merangkumi semua rakyat Malaysia dan tidak mengaitkan mana-mana peruntukan dengan sokongan politik,” kata Bersih.
Anwar baru-baru ini mengumumkan pemberian wang tunai RM100 kepada lebih 10 juta rakyat dewasa berpendaptan tahunan RM100,000 dan ke bawah yang akan dikreditkan ke e-dompet mereka.
Beliau turut mengumumkan bantuan khas sebanyak RM300 kepada penjawat awam dan penghargaan khas kepada pesara kerajaan sebanyak RM200.
Sementara itu, Bersih berkata Anwar harus mengawal anggota kabinetnya dan semua ketua agensi Persekutuan untuk tidak membuat pengumuman dasar atau peruntukan secara melulu yang melanggar larangan 3C.
“Sepatutnya tidak ada pengumuman khas yang disasarkan kepada negeri yang menghadapi PRN untuk menarik sokongan. Sudah tentu tidak boleh ada calon dalam mana-mana majlis. Sebarang pengumuman bersyarat sebelum ini, termasuk kenyataan Zahid di Terengganu, mesti dibatalkan serta-merta.
“PM Anwar dan Kerajaan Madani mesti ingat pelanggaran 3C ini akan menjejaskan kredibiliti Madani kerana ia akan dilihat sebagai propaganda parti dan bukan visi dasar untuk seluruh negara,” tegas Bersih. – 29 Julai, 2023.
Komen