Suhakam jadi orang tengah kemelut Kelantan-Orang Asli


Sheridan Mahavera

Orang Asli mula bangkit mempertahankan hak mereka dengan mengadakan kepungan menghalang syarikat pembalakan memasuki kawasan hutan di Gua Musang, Kelantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018.

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mula menghulurkan bantuan sebagai orang tengah dalam rundingan antara kerajaan Kelantan dan komuniti Orang Asli Gua Musang berkaitan kepungan yang melumpuhkan industri pembalakan di negeri itu.

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph mengatakan perbincangan itu bermatlamat mencari jalan penyelesaian jangka panjang dan mandiri ke atas dasar pembalakan negeri yang sudah lama dikecam itu.

Komuniti Orang Asli mendakwa dasar pembalakan negeri memusnahkan hutan yang merupakan sumber kehidupan mereka.

Kumpulan alam sekitar pula mengatakan pembalakan berleluasa di Kelantan mencemarkan kawasan takungan air dan sungai yang merupakan sumber bekalan air bersih negeri itu.

Walaupun menghargai penglibatan Suhakam, pemimpin Orang Asli Gua Musang, Mustafa Along masih meragui komitmen kerajaan negeri.

“Saya percaya yang dasar pembalakan mereka akan diteruskan termasuklah program ladang rakyat yang menyebabkan penebangan hutan,” kata Mustafa yang merupakan ahli Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOK).

Campurtangan Suhakam berlaku susulan kemelut yang berlarutan selama dua bulan antara Orang Asli, syarikat pembalakan dan Jabatan Perhutanan Kelantan selepas tiga kepungan yang dilakukan komuniti di situ.

Sukarelawan JKOK dan 1,998 orang komuniti itu mendirikan tiga kepungan di jalan yang menghala ke kawasan hutan simpan Perias, Kuala Balah dan Gunung Stong Selatan.

Sukarelawan mendirikan kepungan menghalang lori dan jentera pembalakan untuk melalui jalan tersebut walaupun syarikat pembalakan itu mempunyai lesen pembalakan sah dikeluarkan kerajaan negeri.

Orang Asli mendakwa penebangan hutan menyebabkan mereka sukar berburu dan bercucuk tanam serta mencari sumber makanan, malah bekalan air bersih mereka turut terjejas.

Pegawai Jabatan Perhutanan Kelantan telah gagal dalam usaha mereka untuk berunding dengan pemimpin kepungan, kata Mustafa.

Pada 2016, apabila komuniti itu mendirikan kepungan, jabatan itu telah meruntuhkan binaan sementara itu secara paksa dan menahan pemimpin komuniti.

Pembalakan yang berleluasa walaupun berlesen mengancam kehidupan Orang Asli dan kerajaan Kelantan kini berdepan tekanan menangani masalah itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018.

Penyelesaian jangka masa panjang

Dalam usaha untuk menghalang sebuah lagi tindak balas paksaan, Suhakam telah masuk campur untuk menjadi orang tengah antara kerajaan negeri dan komuniti itu.

“Kami akan membawa kedua-dua belah pihak bersama-sama, jadi agensi negeri boleh bercakap terus dengan komuniti dan pemimpin kepungan supaya mereka memahami kebimbangan kedua-dua pihak,” kata Joseph kepada The Malaysian Insight.

“Kami mahu membantu kedua-dua belah pihak menemui penyelesaian menang-menang,” katanya menambah yang mesyuarat pertama berlaku pada 12 Mac antara Jabatan Hutan, Pejabat Tanah dan Galian Gua Musang dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.

Agensi ini, kata Joseph adalah agensi yang ditugaskan melaksanakan dasar pembalakan kerajaan.

Suhakam mahu membantu dengan mencari penyelesaian menang-menang untuk semua pihak terlibat, kata Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018.

Suhakam turut menekankan kepada agensi berkenaan tentang kepentingan melindungi hak tanah Orang Asli dan mengiktiraf yang komuniti itu mempunyai tuntutan yang sah ke atas tanah tersebut.

Agensi itu memberitahu Suhakam yang ketika ini, kebanyakan kerajaan negeri bersedia memberikan setiap keluarga Orang Asli antara dua sehingga enam ekar tanah, kata Joseph lagi.

Tetapi, komuniti itu secara keseluruhannya juga memerlukan tanah untuk berburu, kata Joseph.

“Kerajaan juga perlu mengezonkan tanah ini dan tidak menukarnya menjadi tanah pertanian.”

Jerald menambah yang buat masa sekarang kerajaan Kelantan masih terbuka untuk menjalankan rundingan dan bersetuju tidak meruntuhkan kepungan itu.

Semua orang menderita

Aktivis alam sekitar, Hafizuddin Nasaruddin yang mengkaji dasar perhutanan Kelantan pula mengatakan pembalakan dan program ladang rakyat sudah memusnahkan hampir 10,000 hektar hutan dara berhampiran penempatan Orang Asli.

Peraturan dan syarat pembalakan juga jarang dikuatkuasakan sehingga menyebabkan syarikat pembalakan memusnahkan aliran sungai yang menjadi sumber air bersih Orang Asli, kata Hafizuddin yang merupakan presiden kumpulan alam sekitar, KUASA.

Malah, dasar perhutanan negeri juga merosakkan kawasan takungan air dan sungai di Gua Musang yang merupakan sumber bekalan air mentah Kelantan.

Pembalakan berleluasa di kawasan hutan simpan Gua Musang bukan sahaja menjejaskan kehidupan Orang Asli, tetapi juga mencemarkan sumber air mentah ke seluruh Kelantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018.

199,345 hektar hutan dara, kawasan yang hampir dua kali ganda saiz negeri Perlis akan ditebang untuk program ladang rakyat.

Jumlah itu bersamaan dengan satu pertiga daripada jumlah keseluruhan hutan simpan negeri sebanyak 623,000 hektar, kata Hafizuddin.

Pada mulanya, skim ladang rakyat bertujuan untuk memulihkan hutan yang sudah separuh musnah dengan menanam kembali tanaman asal kawasan itu, katanya.

“Tetapi di Kelantan, mereka tebang hutan dara dan tanam pokok getah klon. Mereka tak tanam semula di tanah terjejas.

“Kesannya sangat meluas dan mendalam bukan sahaja untuk komuniti Orang Asli tetapi juga seluruh Kelantan.” – 29 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen