Gagal umum calon PM bukan makna PH berpecah, kata Azmin


Diyana Ibrahim

PKR membidas pendapat yang mengatakan kegagalan Pakatan Harapan (PH) menamakan calon interim perdana menteri akan meruntuhkan gabungan pembangkang itu.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata, masih terdapat isu lain yang perlu diberi keutamaan dan PH hanya bersedia membincangkan perkara tersebut apabila diberi mandat serta sokongan oleh rakyat.

“Sekarang ini kita hendak memastikan struktur PH diperkemaskan dan memberi tumpuan kepada persiapan PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14),” katanya kepada media selepas majlis perasmian pelancaran buku di Shah Alam hari ini.

Nada sama juga dinyatakan Setiausaha Agung PH Saifuddin Abdullah yang berkata perkara itu masih belum dibincangkan secara terperinci.

“Kami belum membincangkannya secara khusus. Calonnya kita sudah tahu sebab PKR dan parti lain dalam gabungan ada mencalonkannya. 

“Kita tahu, satu dunia juga tahu tetapi kita belum sampai ke tahap itu,” katanya.

Sebelum ini, gabungan parti pembangkang yang disertai DAP, PKR, Amanah dan Bersatu,  dikatakan mempunyai pertikaian mengenai siapa yang akan mengetuai pasukan impian mereka.

Bersatu sebelum ini didakwa tidak bersetuju sekiranya bekas ketua umum PKR Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri.

Ia juga dikatakan antara penyebab mengapa dalam mesyuarat PH pada Jumaat lalu berakhir tanpa sidang media.

Seperti Azmin, Saifuddin berkata buat masa ini PH ingin menyelesaikan manifesto bagi pilihan PRU14 terlebih dahulu.

“Mesyuarat Majlis PH membincangkan banyak perkara termasuk isu rakyat, isu semasa dan disamping tentulah kita bincang soal pendaftaran.”

Tambahnya mesyuarat PH pada Jumaat ini juga dijangka akan dapat menyelesaikan pemilihan selain membincangkan isu semasa seperti krisis terbaru Felda Global Ventures (FGV).

“PH masih berfungsi sebagai gabungan politik.” – 7 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen