332 pegawai perubatan mohon tukar penempatan diluluskan, kata menteri


Dr Zaliha berkata Beliau berkata pegawai hanya perlu melapor diri bertugas pada tarikh ditetapkan tanpa perlu membawa surat penempatan kerana fasiliti sudah mempunyai rekod pegawai yang akan melapor diri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2023.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) meluluskan rayuan permohonan penempatan 332 pegawai perubatan di seluruh negara dan perlu melapor diri pada 31 Julai ini.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata antara rayuan yang dipertimbangkan adalah pegawai sedang mengikuti pengajian kepakaran, menghadapi masalah keluarga yang serius dan ancaman keselamatan.

“Rayuan ini diluluskan pada 27 Jun dan 24 Julai lepas setelah menerima sebanyak 1,843 rayuan daripada 4,155 pegawai perubatan yang ditawarkan ke jawatan tetap.

“Urusan penempatan pada kali ini dibuat menerusi sistem dan memerlukan pegawai memilih penempatan kerana jurang antara jumlah pegawai kontrak dan perjawatan tetap yang tinggi di beberapa negeri selain memberi peluang yang sama rata kepada pegawai untuk memilih penempatan,” katanya pada sidang media khas di Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata KKM menyediakan saluran untuk pegawai merayu menerusi e-mel, google form dan rayuan bersemuka malah tiga talian telefon yang khusus bagi membolehkan pegawai menghubungi Bahagian Sumber Manusia.

“Dalam urusan rayuan pula, Jawatankuasa Rayuan yang bersidang menimbang kesemua rayuan pegawai. Namun, tidak semua rayuan dapat diluluskan ekoran tiada kekosongan jawatan di negeri yang dimohon dan pertimbangan diberi kepada rayuan yang lebih memerlukan.

“Rayuan yang dipertimbangkan juga menyebabkan pegawai perlu ditawarkan ke mana-mana negeri di Semenanjung yang berdekatan (kebanyakannya bukan mengikut rayuan) seperti Johor, Pahang dan Kedah berikutan tiada kekosongan jawatan di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya.

Beliau berkata pegawai hanya perlu melapor diri bertugas pada tarikh ditetapkan tanpa perlu membawa surat penempatan kerana fasiliti sudah mempunyai rekod pegawai yang akan melapor diri.

“Namun, sekiranya pegawai mohon melapor diri dilewatkan daripada tarikh kuat kuasa, pegawai boleh memohon kepada ketua jabatan terlebih dahulu dan tarikh itu akan menjadi tarikh kuat kuasa baharu pegawai melapor diri bertugas,” katanya. – Bernama, 29 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen