KEMENTERIAN Dalam Negeri berjanji memberikan perkembangan terkini kes kehilangan aktivis pelarian Myanmar Thuzar Maung dan keluarganya, kata rakan aktivis.
James Bawi, seorang aktivis komuniti Chin berkata beliau sudah bertemu dengan setiausaha akhbar menteri dan dimaklumkan yang kementerian akan memberi perkembangan terkini kes itu.
Pertemuan antara kementerian dan beberapa orang aktivis Myanmar berlaku pada 25 Julai lepas. Bagaimanapun tiada maklumat terbaru tentang keberadaan Thuzar dan keluarganya.
“Kami dijanjikan setiausaha akhbar menteri yang kami akan terima perkembangan kes tetapi setakat sekarang masih tiada perhubungan. Kami belum terima perkembangan lagi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Bawi berkata beliau akan membuat pertanyaan susulan kepada kementerian minggu hadapan.
Katanya lagi komuniti pelarian Myanmar kini hidup dalam ketakutan.
Human Rights Watch melaporkan yang Thuzar, suaminya serta anak-anak mereka Aung Myint Maung, 21, Thukha Maung, 17, dan Poeh Khing Maung, 16, diculik dari rumah mereka oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali yang menyamar sebagai polis pada 4 Julai lalu.
Pada jam 4.30 petang hari kejadian, sebuah kereta memasuki kawasan komuniti berpagar tempat tinggal keluarga itu. Pemandu memberitahu pengawal keselamatan yang mereka adalah anggota polis. Dua jam kemudian, Thuzar yang sedang menelefon rakannya menjerit memberitahu suaminya ada lelaki tidak dikenali memasuki rumah mereka, talian telefon itu kemudiannya diputuskan.
Pada jam 7.10 malam, kereta sama dan dua lagi kereta milik keluarga Thuzar dilihat meninggalkan kawasan itu. Telefon Thuzar, suami dan anak-anaknya tidak dapat dihubungi sehingga sekarang.
Thuzar adalah pengerusi Komuniti Pelarian Islam Myanmar dan Jawatankuasa Pekerja Migran Myanmar. Beliau mempunyai 93,000 pengikut di Facebook, platform yang sering digunakannya untuk kerja-kerja aktivis dan mengkritik junta tentera Myanmar. – 30 Julai, 2023.
Komen