Dr Mahathir, pemimpin Pakatan sertai perarakan Bersih walaupun polis beri amaran


The Malaysian Insight

Negara ini sekarang negara kleptokrasi. Mereka akan menekan rakyat dalam apa sahaja cara. Jangan takut jika anda diancam, kata Dr Mahathir Mohamad sebentar tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Mac, 2018.

DR Mahathir Mohamad dan isteri, Dr Siti Hasmah Mohd Ali menyertai ratusan rakyat yang menyertai perarakan pagi ini bagi membantah usul persempadanan semula yang akan memberikan kelebihan kepada parti pemerintah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyertai pemimpin pembangkang lain yang dikawal ketat polis yang sebelum itu memberitahu peserta perarakan mereka tidak dibenarkan berarak ke Parlimen.

Dr Mahathir memberitahu hadirin yang mereka berkumpul kerana mereka sudah hilang harapan dalam demokrasi Malaysia.

“Negara ini sekarang negara kleptokrasi. Mereka akan menekan rakyat dalam apa sahaja cara. Jangan takut jika anda diancam,” katanya.

Perarakan pagi ini dianjurkan oleh kumpulan pendesak perubahan pilihan raya, Bersih 2.0 bertujuan menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri Najib Razak dan Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia. Najib dijadualkan membentangkan rang undang-undang itu pada jam 11.30 pagi hari ini.

Kumpulan masyarakat sivil dan ahli politik pembangkang mengatakan cadangan persempadanan semula bahagian pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk Selangor yang kini ditadbir PH melanggar Perlembagaan Persekutuan dan menyebabkan gerimander dan salah perwakilan dalam jumlah pengundi di kerusi negeri itu.

Mereka yang menghadiri perarakan itu mengatakan Najib akan membentangkan laporan persempadanan semula di Parlimen hari ini untuk “mencuri Pilihan Raya Umum ke-14”, menambah yang gerimander dalam cadangan itu terlalu jelas.

Antara pemimpin pembangkang yang turut hadir ialah Muhyiddin Yassin, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang, Mohammad Sabu dan Nurul Izzah Anwar. – 28 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen