PENDUDUK perkampungan Orang Asli Ulu Geruntum di Gopeng, Perak menuntut agar kerajaan negeri membatalkan projek empangan hidroelektrik mini yang dibina di kawasan tersebut.
Penduduk di enam perkampungan kecil itu berkata jika projek tersebut memusnahkan sumber air, hasil tanaman dan kawasan perkuburan nenek moyang mereka di kawasan tanah adat.
Seorang wakil penduduk, Uda Tiah, 57, berkata mereka mereka sudah menyuarakan bantahan ke atas projek berkenaan sejak enam tahun lalu namun tidak diendahkan.
“Kami bukan lawan kerajaan tapi kami hendak keadilan. Tanah ini betul tanah kerajaan tapi pokok ini pokok kami. Kami tanam dari dulu.
“Hak ini hak kami, kenalah hormat kami orang kampung,” katanya yang ditemani puluhan penduduk kampung ketika ditemui The Malaysian Insight.
Uda mendakwa syarikat berkenaan juga sudah mula memusnahkan pokok tanaman untuk membina jalan bagi projek tersebut tanpa mendapat kebenaran penduduk.
Difahamkan, bantahan tercetus pada 2012 selepas kerajaan negeri menganugerahkan projek tersebut kepada sebuah syarikat untuk membina 25 penjana kuasa hidro mini. Enam lagi projek tambahan ditandatangani setahun kemudian.
Projek di Ulu Geruntum melibatkan enam perkampungan antaranya Kampung Sungai Kapor, Kampung Sungai Sat, dan Kampung Sungai Poh.
Keenam-enam kampung ini terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teja yang mempunyai 24,299 pengundi.

“Jangan cemarkan hutan dan sungai kami”
Dinah Baharun, 38, berkata bantahan itu dibuat kerana mereka sayangkan sumber sungai dan hutan terbabit dan ia tidak didalangli mana-mana pihak atau ahli politik.
“Ini bukan kerana kita dengar cakap orang luar. Kita memang sayang sungai dan hutan. Kalau dah duduk bertahun-tahun. Di sini ada kebun kami.
“Tuduh kami tolak pembangunanlah. Apa yang tak fahamnya kalau masuk pun dari pintu belakang. Ia ibarat masuk rumah tak bagi salam.
“Sebarang projek tolong ikut prosedur, kaji selidik dan jangan sampai mencemarkan alam sekitar. Sampai menjejaskan pencarian kami. Kami sayang dan tolong prihatin tentang nasib kami,” kata ibu kepada dua orang anak itu.
Seorang lagi penduduk, Bahagen Bahaden, 59, bimbang perkara lebih buruk akan berlaku jika projek melibatkan tanah seluas 8 hektar tersebut diteruskan.
“Kalau semuanya tanah kerajaan jadi kami hendak duduk kat mana? Sekarang ini (pengusaha projek) tebang dusun kami, entah esok rumah kami pula,” katanya.
Katanya, beliau bimbang jika terdapat projek lain yang akan dibuat di kawasan berkenaan kerana tanah tersebut milik kerajaan.
“Mula-mula nak buat projek hidro. Besok dah lulus semua, datang tauke lain pula buat projek sebab ini semua tanah kerajaan.
“Habis kami di sini berkurun lama tiada tanah? Habis macam beruk ke? Kami bukan ini bukan beruk, manusia juga. Orang Asli. Tak bolehkah kami membantah?” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Perak Sajeeda Muhammad berkata, pengusaha perlu membuat rundingan dengan penduduk bagi memastikan kesejahteraan hidup masyarakat itu.
“Ia melibatkan kampung, sebelum apa-apa dibuat sepatutnya berunding dengan penduduk. Mereka ada juga tempat hasil pencarian seperti kebun. Itu adalah hasil mereka.
“Jadi bagi saya ini tidak patut. Kalau nak buat pastikan, tidak menjejaskan sungai dan merosakkan. Kami prihatin kerana melibatkan alam sekitar.
“Sungai bagi Orang Asli adalah sumber minum dan mandi,” katanya lagi ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Beliau juga berharap, menteri besar dan Jabatan Alam Sekitar dapat membantu golongan penduduk terbabit.
“Sekarang MB (Menteri Besar) saja punya kuasa untuk membantu,” katanya lagi.
The Malaysian Insight sedang mendapatkan maklum balas daripada kerajaan negeri Perak dan syarikat terlibat. – 29 Mac, 2018.
Komen