Pengusaha pelancongan kata projek di Ulu Geruntum sekat mata pencarian


Nabihah Hamid

Para pengusaha aktiviti berakit di Sungai Kampar, salah sebuah sungai utama di Malaysia bagi kegiatan lasak tersebut bimbang dengan kesan projek empangan hidroelektrik mini di kawasan itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 Mac, 2018.

KUMPULAN pengusaha aktiviti berakit arus deras di Ulu Geruntum, Gopeng bimbang mata pencarian mereka akan terjejas apabila empangan hidroelektrik mini dibina di kawasan tersebut.

Salah seorang daripadanya, Mohd Faizal Abdul Kadir berkata beliau tidak mendapat sebarang jaminan yang projek berkenaan selamat dan tidak menjejaskan alam sekitar. 

“Dia (syarikat) terangkan minihidro tidak akan jejaskan bisnes kami. Tapi saya persoal kesan terhadap alam sekitar,” kata pengurus syarikat Nomad Advanture itu. 

Faizal, 38, berkata, satu pertemuan diadakan dengan pihak syarikat, NGO alam sekitar, agensi kerajaan dan pengusaha terlibat pada minggu lalu. 

Katanya, beliau dimaklumkan projek berskala kecil itu tidak memerlukan penilaian kesan alam sekitar (EIA) kerana ia tidak melibatkan pembalakan tanah lebih daripada 40 hektar.

Namun, tiada sebarang dokumen atau laporan ditunjukkan untuk memberi jaminan projek itu tidak akan menjejaskan mereka, katanya lagi.

“Tiada hitam putih. Apa kesan pada sungai? Adakah habitat di dalam sungai akan terganggu?” katanya lagi.

Faizal turut mempersoalkan ketelusan operasi kerajaan negeri dalam mengendali projek tersebut kerana tidak membuat rundingan sejak awal sedangkan ia melibatkan ramai pihak.

Suasana perkampungan masyarakat Orang Asli di Ulu Geruntum, Gopeng, Perak.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 Mac, 2018.

“Cukup mengecewakan sebagai sebuah kerajaan negeri tidak ambil kira pandangan stake holders. (Kerajaan) perlu buat kajian dan rundingan,” katanya.

Beliau merupakan antara lebih 10 pengusaha yang mengendalikan aktiviti berakit di Sungai Kampar, salah sebuah sungai utama di Malaysia bagi kegiatan lasak tersebut.

Mereka bergantung hidup kepada arus deras itu yang menarik ramai peminat sukan lasak dan juga pelancong untuk mencuba aktivit berakit ke hilir Sungai Kampar.

Ada di kalangan pengusaha ini juga membuat pelaburan sehingga ratusan ribu untuk menyediakan peralatan serta kemudahan untuk aktiviti berkenaan.

Sekiranya sungai itu terjejas, kesannya juga akan dirasai oleh pengusaha resort dan chalet di kawasan tersebut.

Seorang pengurus resort di Ulu Geruntum, Ayesha Abdul Razak berkata beliau kesal kerana para pengusaha tidak dilibatkan dalam perbincangan mengenai projek empangan tersebut.

“Saya risau ia akan menjejaskan pendapatan kami. Air sungai itu kalau tercemar bagaimana? Kenapa kami tidak dilibatkan atau dipanggil? Sekurang-kurangnya maklumlah pada kami,” kata Ayesha. 

Beliau yang mengusahakan Kuala Razila Resort sejak lapan tahun lalu berkata, juga bimbang kerana projek itu juga menimbulkan kemarahan penduduk Orang Asli.

“Kita sudah lapan tahun (di sini). Saya dapat tahu daripada Facebook, mereka (Orang Asli) marah sebab tanah mereka diceroboh.

Keluarga masyarakat Orang Asli yang tinggal di Ulu Geruntum, Gopeng, Perak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 Mac, 2018.  

Dalam pada itu, seorang penguasaha yang enggan dinamakan mahu kerajaan mempertimbangkan semula projek tersebut. 

“Kenalah kaji dulu. Sekarang ini berhenti dulu. Selepas ada satu laporan dan orang ramai yakin, barulah mereka teruskan projek ini,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Projek itu juga mendapat bantahan penduduk perkampungan Orang Asli sejak enam tahun lalu yang  menggesa kerajaan negeri membatalkan projek tersebut. 

Mereka bimbang kesannya bakal memusnahkan sumber air, hasil tanaman dan kawasan perkuburan nenek moyang mereka di kawasan tanah adat.

Menteri Besar Zambry Abdul Kadir bulan lalu dilapor mengarahkan satu kajian teliti dibuat ke atas projek berkeaan.

“Saya minta exco bertanggungjawab untuk lihat dari semua segi seperti keadaan aliran sungai, kawasan pelancongan di situ dan sebagainya.

“Soal impak sosial dan alam sekitar itu saya ingat di peringkat ini lebih baik kita tunggu penilaian dibuat terlebih dahulu daripada saya membuat sebarang komen mengikut andaian sendiri,” kataya seperti dipetik portal Suara Perak.

Zambry juga berkata projek adalah untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sumber mineral seperti arang batu bagi penjanaan tenaga elektrik.

The Malaysian Insight difahamkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang membuat kajian selain rundingan di antara penduduk yang menentang. – 29 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen