BNM tidak pernah dimaklumkan 3 surat derma Arab kepada Najib


Bekas gabenor BNM Zeti Akhtar Aziz berkata tiga pucuk surat itu tidak pernah didedahkan kepada bank pusat, dan hanya ditemui semasa serbuan bersama BNM dan SPRM di AmBank pada 6 Julai 2015. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai 2023.

BANK Negara Malaysia (BNM) tidak pernah dimaklumkan mengenai tiga pucuk surat berhubung derma daripada seorang individu yang didakwa sebagai ahli keluarga diraja Arab Saudi kepada bekas perdana menteri Najib Razak, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Bekas gabenor BNM Zeti Akhtar Aziz berkata tiga pucuk surat bertarikh 1 November 2011, 1 Mac 2013 dan 1 Jun 2014 itu tidak pernah didedahkan kepada bank pusat dan hanya ditemui semasa serbuan bersama BNM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di AmBank pada 6 Julai 2015.

“Semasa serbuan itu, didapati kod akaun ‘AmPrivate Banking – MR’ (akaun Najib) telah ditutup dan tiga akaun (juga milik Najib) yang dibuka pada 2013 juga telah ditutup.

“Baik AmBank mahupun Datuk Seri Najib tidak memajukan surat-surat ini kepada BNM. Selain itu, dua pucuk surat yang dikatakan dikeluarkan kepada BNM oleh Pengarah Urusan Kumpulan ketika itu, Ashok Ramamurthy hanya muncul semasa siasatan BNM pada Julai 2015,” kata beliau sambil menambah tiada rekod menunjukkan dua surat bertarikh 21 September 2012 dan 30 April 2013 itu pernah dihantar oleh AmBank, atau diterima oleh BNM.

Zeti, 76, yang menjadi gabenor BNM selama 16 tahun sejak 2000 berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada perbicaraan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas perdana menteri itu.

Terdahulu, Zeti berkata siasatan terhadap 1MDB bermula selepas BNM menerima pendedahan secara sulit pada 13 Mac 2015, berhubung entiti luar yang telah memindahkan sejumlah besar dana kepada entiti dalam bidang kuasa mereka yang dimiliki ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho.

Zeti berkata, berikutan pendedahan itu beliau bagi pihak BNM telah bertemu dengan ketua polis negara (KPN) ketika itu Khalid Abu Bakar di BNM untuk mendedahkan maklumat tersebut kepadanya, dan BNM kemudiannya memulakan pemeriksaan ke atas AmBank dan Deutsche Bank Malaysia Berhad (DBMB) untuk mengesahkan dakwaan bahawa 1MDB telah memindahkan dana AS$700 juta daripada AS$1 bilion kepada Good Star Limited.

“Pada 23 Mac 2015, BNM menerima satu lagi pendedahan daripada pihak berkuasa luar yang mengesahkan sejumlah besar dana telah dihantar ke Good Star Limited dan mengesahkan identiti pemilik benefisial akaun itu, iaitu Jho Low,” katanya.

Terdahulu, Zeti berkata BNM telah menghantar surat kepada Najib yang ketika itu menteri kewangan untuk mengingatkannya tentang peningkatan tahap hutang, cabaran pembayaran balik yang dihadapi oleh 1MDB yang sebenarnya membawa kepada penstrukturan semula pinjaman daripada bank domestik.

“Dalam surat tersebut, BNM juga telah menggesa Najib agar meningkatkan ketelusan mengenai hutang dan operasi 1MDB, dan supaya membendung sebarang peningkatan lagi dalam tahap hutangnya.

“Pada 16 Januari 2015, BNM telah menulis sekali lagi kepada Najib berhubung kebimbangan terhadap 1MDB dan untuk mendokumentasikan potensi implikasi yang signifikan terhadap kedudukan fiskal kerajaan.

“BNM menekankan bahawa dalam keadaan sedemikian, ia boleh mengakibatkan penjualan aset untuk merealisasikan modal serta-merta bersamaan RM16.6 bilion obligasi luar jangka kerajaan yang timbul daripada jaminan jelas yang telah disediakan untuk hutang 1MDB,” kata beliau.

Kepada soalan Ahmad Akram mengenai sama ada beliau pasti Najib menerima kedua-dua pucuk surat oleh BNM itu, Zeti berkata: “Ia telah diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri, bagaimanapun, BNM tidak menerima sebarang maklum balas daripada Najib mengenai perkara itu.”

Ahmad Akram: Adakah reaksi senyap (tidak menjawab) surat-surat ini biasa? Zeti menjawab ia “tak biasa”.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan dihadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 14 Ogos. – Bernama, 27 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen