Bakal terima pengiktirafan AS, Indira Gandhi masih menanti saat bertemu anak


Noel Achariam

Tiada apa yang mampu mengisi kekosongan hati M Indira Gandhi yang begitu merindui Prasana Diksa yang terpisah daripadanya sejak 10 tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2018.

M Indira Gandhi pernah menjadi tajuk berita dan dipuji kerana keberaniannya berjuang semalam sembilan tahun menentang penukaran agama bagi tiga anaknya kepada Islam.

Dan beliau kini dicalonkan bagi Anugerah Wanita Berani Antarabangsa oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), menjadikan beliau rakyat Malaysia ketiga yang bakal memenangi hadiah tersebut.

Bagaimanapun, guru tadika berusia 41 tahun itu masih merasakan kekosongan di dalam hatinya kerana tiada penghargaan atau pengiktirafan dapat mengisi ketiadaan anak bongsunya, Prasana Diksa.

Ia sudah 10 tahun sejak kali terakhir beliau melihat anak perempuannya, yang diambil oleh bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah ketika anak itu berumur 11 bulan, pada 2009.

“Saya sangat bersyukur untuk menerima anugerah ini tetapi apa yang saya fikirkan adalah Prasana Diksa.

“Dia akan berusia 10 tahun pada bulan depan dan satu perkara  paling penting ialah saya mahu melihatnya semula,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Selain Prasana, dua anak lain adalah anak perempuan, sekarang berusia 21 tahun, dan anak lelakinya yang berusia 20 tahun.

Memandangkan keputusan Mahkamah Persekutuan 29 Januari yang memutuskan penukaran agama ketiga-tiga anak kepada Islam oleh Riduan sebagai terbatal dan tidak sah, pihak polis masih tidak menghubungi Indira Gandhi mengenai keberadaan Prasana.

Mahkamah tertinggi memutuskan penukaran agama anak di bawah umur memerlukan persetujuan kedua-dua ibu bapa dan perkataan “ibu bapa” dalam Perlembagaan kerap disalah tafsir.

Dengan keputusan itu, mahkamah juga memerintahkan polis mencari Riduan dan Prasana serta memulangkan anak itu kepada Indira.

“Walaupun sudah mendapat keadilan, saya masih menanti untuk melihat anak saya. Saya masih menunggu polis mencari anak saya.”

Indira Gandhi berkata apa yang beliau inginkan adalah melihat Prasana sekali lagi, walaupun anak perempuan itu mungkin menolaknya sebagai ibu kerana sejak bertahun lamanya terpisah.

Semasa perjuangan undang-undangnya selama sembilan tahun, Riduan mengingkari perintah mahkamah sivil untuk mengembalikan Prasana kepada isterinya. Beliau juga memperoleh perintah mahkamah syariah yang memberikan hak penjagaan kepada anaknya.

Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2014 mengeluarkan waran tangkap untuk Riduan dan mencari Prasana.

Selepas keputusan Mahkamah Persekutuan pada Januari, polis mengatakan mereka tidak mempunyai petunjuk mengenai keberadaan Riduan, walaupun percaya beliau masih berada dalam negara.

Polis turut meminta orang ramai untuk membantu mencari Riduan dan Prasana dengan memberikan sebarang maklumat.

Ibu Indira Gandhi dan dua anak akan menemaninya menerima anugerah yang dianjurkan oleh Kedutaan AS di kediaman Duta Besar AS Kamala Shirin Lakhdhir malam ini.

Acara itu, bersempena Hari Wanita Antarabangsa 2018 dan sambutan Bulan Sejarah Wanita di AS, juga sebagai mengiktiraf Indira Gandhi atas ketabahan dan keberaniannya.

“Saya harap pencalonan saya akan menjadi peringatan kepada semua wanita agar tidak berputus asa.

“Ini memberi wanita sokongan moral dan galakan untuk terus mempertahankan pendirian, seperti dalam kes saya mengenai penukaran agama anak-anak saya.

“Wanita tidak perlu takut untuk keluar dan menyuarakan pandangan mereka mengenai sebarang isu.“Pemenang masa lalu adalah bekas presiden Majlis Malaysia Ambiga Sreenevasan pada 2009 dan penyokong hak asasi transgender Nisha Ayub pada 2016, yang juga merupakan wanita transgender pertama memenangi anugerah itu.

Anugerah ini diberikan sejak 2007 kepada wanita yang menunjukkan “keberanian dan kepimpinan luar biasa dalam menyokong hak asasi manusia, kesaksamaan wanita, dan kemajuan sosial, yang selalunya berisiko tinggi”. – 28 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen