Ahli Parlimen KL puas hati komunikasi dengan DBKL bertambah baik


Noel Achariam

Ahli Parlimen KL berpuas hati dengan perubahan hubungan dengan DBKL dalam menangani sebarang isu membabitkan kawasan masing-masing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2023.

KOMUNIKASI antara ahli Parlimen Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya (DBKL) untuk menangani isu bertambah baik, ia memudahkan wakil rakyat mengetengahkan kebimbangan dan cadangan mereka berhubung ibu negara.

Mereka berkata Datuk Bandar Kuala Lumpur Kamarulzaman Mat Salleh mengadakan mesyuarat bulanan untuk mendengar dan menangani isu yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen.

Saling bertukar pandangan dengan DBKL penting kerana kerajaan perpaduan membubarkan Kementerian Wilayah Persekutuan, dan mereka mahu DBKL mula menangani isu yang dibangkitkan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini menyelia secara langsung pentadbiran Wilayah Persekutuan, dan di Kuala Lumpur, DBKL adalah agensi utama untuk mentadbir ibu negara.

Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan berkata talian komunikasi secara langsung disediakan bukan sahaja dengan Datuk Bandar tetapi juga dengan setiap pengarah jabatan.

“Kami adakan mesyuarat bulanan berjadual dengan Datuk Bandar. Setiap ahli Parlimen diberi peluang untuk membangkitkan isu kawasan masing-masing.

“Isu dibangkitkan, ada yang memerlukan tindakan segera, seperti pemotongan pokok atau pemangkasan di kawasan tertentu manakala sebahagian yang lain bagi tindakan jangka panjang.

“Sebagai contoh, melihat penilaian kesan trafik (TIA) di jalan kritikal seperti Jalan Gombak dan Jalan Genting Klang,” kata ahli Parlimen PKR itu.

Bagi Wangsa Maju, Zahir berkata walaupun mempunyai kepadatan penduduk tertinggi bagi setiap kilometer persegi, kawasan itu tidak mempunyai kemudahan sukan.

“Terdapat juga isu ketersambungan di beberapa kawasan dengan stesen LRT sedia ada, serta isu tempat letak kereta dan kesesakan jalan raya,” katanya.

Beliau juga berkata terdapat keperluan bagi perancangan dan tadbir urus yang lebih baik dalam pelaksanaannya bagi meningkatkan taraf bandar.

“Melihat kesesakan lalu lintas, kita memerlukan dasar pembangunan biru-hijau untuk persekitaran yang lebih baik selaras dengan objektif SDG 2030.

“Kita juga mesti meningkatkan program pemerkasaan komuniti berdasarkan model pendekatan lebih mampan.

“Bagi asas jangka panjang, dengan sistem lebih baik, berkesan dan cekap disediakan, DBKL sepatutnya dapat menyelesaikan sesuatu.”

Ahli Parlimen Veteran Cheras Tan Kok Wai, daripada DAP, berkata beliau mahu DBKL menangani semua isu yang dibangkitkannya semasa pertemuan bulanan dengan Datuk Bandar.

Katanya, beliau membangkitkan isu seperti kesesakan lalu lintas, banjir dan pembangunan berlebihan.

“Bagi Cheras, kita perlu DBKL melihat pembangunan berlebihan di sini yang akan membawa padah tidak diingini.

“Ia memberi kesan kepada kebolehdiaman di sini, kami mempunyai masalah bunyi bising dan pencemaran lalu lintas serta kehilangan ruang hijau.

“Infrastruktur sedia ada tidak dapat menampung kawasan yang pesat membangun, yang akan menjejaskan komuniti di sini.”

Beliau berkata terdapat puluhan skim perumahan yang diperuntukkan di Cheras diluluskan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum ini sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kebanyakan projek ini diluluskan di kawasan hijau.

“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) yang menghentikan projek sementara menunggu kajian lanjut.”

Beliau juga mahu DBKL memantau kilang simen yang menyebabkan pencemaran di Jalan Chow Sow Lin.

“Terdapat 12 kilang simen di sana. Kami percaya ada yang beroperasi secara haram. Ia perlu diperiksa.”

Tan juga berkata beliau turut membangkitkan isu pekerja asing yang mengendalikan gerai penjaja di pasar basah Pudu.

“Saya sudah banyak kali membangkitkan isu ini dan mahu tindakan tegas diambil. Kita perlu membersihkan semua pasar daripada pendatang tanpa izin.

“Kami gembira dengan maklum balas Datuk Bandar untuk meneliti semua isu yang kami bangkitkan.”

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng, juga daripada DAP, berkata komunikasi dengan DBKL dan Datuk Bandar bertambah baik.

Lim berkata semasa mesyuarat bulanan, beliau membangkitkan pelbagai isu tempatan dan beberapa perkara dasar.

“Ada maklum balas yang pantas dan Datuk Bandar baharu ini setakat ini adalah yang paling merendah diri.”

Isu Kepong yang beliau bangkitkan adalah untuk mempunyai sistem pengurusan trafik lebih baik, menambah lebih banyak ruang letak kereta dan lebih banyak skim perumahan awam untuk B40.

Lim berkata bagi pembangunan bandar, DBKL perlu melaksanakan lima prinsip tadbir urus yang baik iaitu tanggungjawab, akauntabiliti, kesedaran, kesaksamaan dan ketelusan. – 27 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen