PRODUKSI filem pendek dan pelawak bekerjasama menganjurkan pertandingan video bagi menyampaikan mesej positif mengenai lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Pertandingan itu memerlukan peserta membikin video berdurasi tiga minit sama ada dalam Bahasa Melayu, Inggeris atau Cina dengan tema “pro LGBT”.
Berdasarkan poster di dalam talian, ia dianjurkan Grim Film Production dan pelawak solo Dr Jason Leong.
“Ia untuk menunjukkan perasaan sayang berbanding diskriminasi terhadap kumpulan LGBT,” kata pengasas bersama Grim Film, Jared Lee kepada The Malaysian Insight.
Sejak poster berhubung pertandingan tersebut dimuat naik sejak 1pm semalam, ia dikongsi seramai 200 pengguna laman media sosial dalam tempoh semalaman.
Apabila ditanya mengapa mereka memilih bekerjasama dengan Leong untuk mengadakan pertandingan video pro-LGBT, Lee berkata: “Kami percaya dalam membuat pendirian bahawa ia tidak salah untuk berada di dalam komuniti LGBT.
“Komuniti LGBT tidak boleh disegmentasikan dan mereka tidak perlu takut,” kata Lee.
Menurut Lee, sudah ada beberapa “ancaman kecil” dibuat kepada mereka kerana menganjurkan pertandingan itu.
“Kami hanya berharap tidak ada yang cedera kerana ia dibuat dengan niat yang baik,” katanya.
Lee juga menafikan pertandingan itu diadakan sebagai tindak balas kepada satu pertandingan video dianjurkan Kementerian Kesihatan.
“Ini bukan tindakan balas, kami hanya menyuarakan pendirian mengenai perkara itu. Apabila saya menyatakan ‘mereka tidak perlu takut’ saya merujuk kepada komuniti LGBT, kerana kita hidup dalam sebuah negara yang mengisytiharkan LGBT sebagai haram,” katanya.
Apabila ditanya tentang siapa yang akan mengadili video, Lee berkata mereka masih berbincang untuk panel juri.
“Kami masih memilih juri yang merupakan aktivis LGBT,” kata Lee.
Apabila ditanya mengenai hadiah utama berjumlah AS$1,001 (RM4,296.26), Lee berkata ia adalah satu pendekatan menyindir kepada persaingan video lain dalam “anti LGBT” yang menawarkan hadiah utama sebanyak AS$1,000.
Beliau mungkin merujuk kepada pertandingan video Kementerian Kesihatan.
Manakala tujuan pertandingan yang menetapkan tarikh tutupnya pada 31 Ogos adalah bagi menyampaikan mesej positif tentang golongan LGBT kepada masyarakat.
Pengasas bersama Seksualiti Merdeka Pang Khee Teik berkata, pertandingan itu bertindak sebagai langkah bagi rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyediakan platform kepada golongan terpinggir.
“Media milik kerajaan sering diarahkan untuk tidak memberikan platform kepada komuniti LGBT, sedang mereka konsisten menggunakannya untuk meletakkan kami dalam pandangan yang negatif.
“Rakyat Malaysia kreatif dan penyayang. Pertandingan video ini diharapkan akan membawa keluar nilai baik dalam rakyat Malaysia,” kata Pang.
Grim Film adalah syarikat produksi yang menarik penonton antarabangsa di Youtube dengan filem pendek dan video mereka, manakala Jason sebelum ini adalah pengamal perubatan profesional sebelum menjadi pelawak. – 7 Jun, 2017.
Komen