Melayu yang berpuas hati dengan yang biasa-biasa


Faisal Tehrani

BARU-baru ini ada seorang lelaki yang penuh mediokriti atau biasa-biasa diberi label dongeng oleh orang PAS sebagai hebat. Ia akan ditawarkan sebagai seorang kepala atau menteri di sebuah negeri.

Masalah Melayu ialah mereka cepat terpesona dan mengekor orang yang mediokor. Itu sebab Melayu paling mudah diperdaya atau kena scam. Untuk umat yang suka mengangkat pemimpin atau ketua mediokor, ia sebetulnya memberikan kita satu petunjuk.

Menurut sarjana agung Algeria, Malik Bennabi yang ada menulis mengenai fenomena al-Quran; sesungguhnya evolusi ketamadunan masyarakat akan mengalami tiga pesen perkembangan iaitu pertamanya; masyarakat pra-tamadun (Mujtama’ qabla al- Hadharah); keduanya, masyarakat bertamadun (al-Mujtama’ al-Mutahadhdhir) dan jenis paling malang adalah masyarakat pasca- tamadun (Mujtama’ ba’da al-Hadharah).

Masyarakat pratamadun menurut Bennabi adalah dalam erti kata lain sebuah masyarakat primitif yang mempunyai pandangan yang tidak matang mengenai benda, orang dan idea. Maksudnya, masyarakat itu primitif bukan sahaja kerana ia tidak ada teknologi dan peradaban, tetapi kerana ia memilih hal-hal yang mediokor. Dalam hal ini termasuklah suka atau gemar akan pemimpin mediokor.

Masyarakat biasa-biasa ini juga digelar sebagai masyarakat yang berciri primer; dalam erti kata lain, tidak mempunyai hubungan jelas dengan dunia luar. Mereka duduk dalam buih sendiri, dan syok dengan hal-hal mediokor. Orang cokia mereka nobatkan sebagai hebat. Kaki lawak mereka angkat sebagai imam dan maula.

Masyarakat yang terputus dan tidak memahami hubungan dengan luaran ini merupakan ciri atau sifat semulajadinya sebuah masyarakat jahiliyyah. Jika sebelum Islam, mereka berpegang kepada benda tidak hidup. Apa yang dikatakan oleh pemimpin mereka tentang Lata dan Uzza akan diterima tanpa sanggah dan sangkal. Mereka akan membuntut taat setia. Ini ciri mediokor.

Sedang masyarakat bertamadun pula ialah masyarakat yang berkomunikasi secara berkesan dengan sejarah. Masyarakat bertamadun ini terjelma setelah sesebuah masyarakat itu berani berinteraksi dan keluar dari kepompong jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. Dalam sejarah peradaban, kemunculan Islam dilihat sebagai gagasan baharu yang memberi pencerahan. Ia sarat dengan nilai dan disiplin tentang kehidupan.

Masyarakat pascatamadun sebagai kebalikan pula hanyalah masyarakat yang mengalami kemelesetan nilai hidup hasil daripada kebekuan idea. Menurut Bennabi, jenis ketiga tamadun ini ialah apabila ia melepasi tahap kemunduran akibat kecenderungan masyarakat yang dikawal oleh kebendaan dan hawa nafsu. Masyarakat pascatamadun ini merupakan masyarakat yang hidup dalam hampa atau kosong, tiada destinasi serta tiada keinginan untuk berfikir.

Bennabi memberikan satu perbandingan dengan menggambarkan tiga jenis masyarakat ini. Masyarakat pratamadun dicontohkan seperti air yang berada di luar tangki; mencucur masuk ke dalam dan air di dalam tangki itu dianggap seperti masyarakat bertamadun yang menempa proses pembersihan dan digunakan untuk pelbagai kegunaan harian kita manusia.

Apabila telah digunakan, air ini dicurah keluar. Justeru, masyarakat pasca-tamadun diibaratkan air yang terbuang keluar dari tangki setelah digunakan iaitu sudah hilang fungsi, kualiti atau dalam erti kata lain sudah menjadi air mustakmal.

Dalam hal ini, ada dalam kalangan kita hari ini boleh diletakkan sebagai masyarakat pasca-tamadun (mujtama’ ba’da albadara) iaitu masyarakat yang OK atau hanya biasa-biasa dengan air sifar nilai, atau air mustakmal.

Masyarakat pascatamadun ini menyanjung mereka yang memandu mereka kepada mediokriti. Mereka adalah masyarakat ikut-ikutan yang tidak mempunyai perencanaan hidup serta tidak tahu bagaimana untuk mencapai matlamat hidup. Misalnya, jika ada pemimpin mediokor memberitahu sesuatu yang bengap, mereka akan percaya bulat-bulat.

Masyarakat ini tiada jati diri setelah dibuai kealpaan yang melampau. Maka tidak menghairankan orang yang penuh muslihat seperti Tun Dr Mahathir yang telah berupaya membohongi masyarakat Kelantan berkali-kali kini diangkat sebagai penyelamat dan wira.

Masyarakat pascatamadun juga amat ghairah kepada pemimpin yang menghiburkan, pemimpin kaki lawak, ahli komedi dan jika pemimpin itu suka berwacana, berwatak dan ada gagasan; atau suka bercakap tentang polisi, mereka pun cepat jemu dan bosan. Mereka suka idea bangang dari idea yang perlu menggunakan akal fikiran.

Apabila Rasulullah wafat, masyarakat Islam dilalaikan dengan kejayaan demi kejayaan pembukaan wilayah baharu dan perlahan-lahan dari segi peradaban fikiran mereka telah mengalami kemunduran. Titik awal kemunduran idea itu adalah apabila umat Islam boleh diperdayakan dengan konspirasi bodoh yang dinamai Langkah Siffin pada tahun 37 Hijrah.

Pada pandangan Bennabi, perang Siffin ini menjadi pencetus kontradiksi dalaman iaitu semangat jahiliyyah. Selepas peristiwa Karbala pada 61 Hijrah, kemunduran umat Islam mencapai kemuncak dalam aspek pemikiran. Nilai pemikiran dan akal umat telah tunggang terbalik. Mereka seronok dengan liburan dan dalam hal politik mereka cepat suka dan mendarat dengan idea-idea biasa, dengan pemimpin biasa-biasa, yang kadang kala kaki lawak.

Perlahan-lahan umat di hadapan kita kelak menjadi bodoh dan jika kita berhujah apa pun mereka tidak lagi peduli. Hayat benak atau otak segera membeku yang mana Malek Bennabi dalam satu lagi kiasannya menyatakan umat mediokor adalah gembala tanpa ternakan; atau jika diibaratkan dengan Kedah, ia umpama pesawah tanpa bendang dan bajak.

Masyarakat mediokor ini adalah masyarakat terbuang yang tiada lagi kemampuan untuk berfikir. Lama kelamaan mereka pun terbiasa dengan hal biasa-biasa, dan tidak mampu menghasilkan apa-apa perubahan dalam sikap, nilai, idea, dan pemikiran kerana mereka pokoknya OK dan berpuas hati dengan biasa-biasa. Lagi biasa lagilah hebat. Mereka malah menukar definisi hebat kepada biasa.

Hebat di mata mereka itu sekadar mediokor.

Bagaimana kita akan bersaing dengan negara jiran? Atau jika yang mediokor ini Melayu Islam bagaimana pula mereka hendak bersaing dengan bangsa yang kononnya kafir dan nurakawi, kalau dalam benak pun sudah mati.

Parti PAS yang pernah menghasilkan pemimpin-pemimpin hebat dan berkualiti seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ustaz Fadzil Noor kini hanya memiliki pemimpin kaki lelap, kaki candat dan kaki ponteng. PAS tidak lagi menghasilkan pemimpin gah sebaliknya menjadi kilang orang cokia.

Untuk menutup aib dan malu ini, mereka memberitahu orang bahawa tiada keperluan pemimpin hebat. Cukup saja pemimpin biasa. Kalau mereka pandai ceramah dan tidak pandai berpolisi tak apa. Kalau mereka boleh biasa-biasa mengutip petikan Hitler tak apa. Jika mereka undi kaki lawak pun tak apa.

Sebab, berpuas hatilah dengan mediokriti. – 25 Julai, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen