Perkembangan kerjaya, kos tinggi punca doktor junior tolak dipindahkan tugas


Ravin Palanisamy

Hartal Doktor Kontrak berkata ramai antara mereka sudah berkahwin dan ada anak kecil, bukan mudah untuk berpindah berbanding dengan doktor yang baru mula bekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2023.

CABARAN dalam perkembangan kerjaya dan kos perpindahan yang tinggi adalah antara alasan mengapa doktor junior menolak untuk dipindahkan bertugas ke negeri Borneo, kata kumpulan doktor kontrak.

Merujuk kepada jumlah penolakan yang tinggi, gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) berkat sesetengah pegawai perubatan yang berada dalam senarai pindah sebelum ini mendakwa arahan pemindahan baharu itu tidak munasabah.

“Ramai antara mereka sudah dipindahkan beberapa kali dalam tempoh tiga tahun lalu, dan arahan pindah sekali lagi mungkin keterlaluan.

“Mereka terpaksa melalui satu lagi proses pemindahan, bertukar jabatan dan hospital serta berjauhan dengan keluarga,” kata jurucakap HDK kepada The Malaysian Insight tetapi enggan namanya didedahkan.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata lebih 200 doktor menolak jawatan kontrak atau gagal melapor diri untuk bertugas di Sarawak.

Jurucakap itu berkata doktor terbabit berasakan perkembangan kerjaya mereka akan terjejas jika dipindahkan.

“Mereka yang merancang untuk menuruskan kepakaran dalam bidang tertentu bimbang mereka tidak akan ditempatkan di jabatan yang diingini dan ini akan menyekat perkembangan kerjaya mereka.

“Ada beberapa kes di mana doktor tersekat bertahun lamanya di sesebuah jabatan atau hospital yang bukan pilihan mereka walaupun beberapa kali rayuan sudah dibuat,” katanya.

Satu lagi isu berkaitan ialah kos perpindahan, di mana mereka berkata berpindah ke Sabah atau Sarawak memerlukan kos yang tinggi.

“Doktor tidak dapat membuat tuntutan elaun perpindahan, tiket penerbangan kerana mereka dianggap ‘terputus perkhidmatan’ sebaik saja menjadi staf tetap.”

Dilaporkan mereka yang menerima jawatan yang memerlukan perpindahan tidak layak untuk membuat tuntutan kos.

Jurucakap HDK berkata Kementerian Kesihatan (KKM) perlu mengambil kira faktor keluarga sebelum mengarahkan doktor berpindah.

“Ramai antara mereka sudah berkahwin dan ada anak yang masih kecil. Bukan mudah untuk mereka berpindah berbanding dengan doktor yang baru saja mula bekerja, masih muda dan bujang.

“Ada juga sesetengahnya mempunyai ibu bapa yang sakit dan memerlukan mereka berada berhampiran.

“Kerajaan perlu melihat keadaan ini dan bantu meringankan beban mereka, kerana tidak adil untuk menyalahkan doktor junior kerana menolak tawaran berkenaan,” katanya.

Minggu lalu, Persatuan Perubatan Malaysia menggesa doktor yang menolak penempatan di Sarawak untuk menerima tawaran itu dan lapor tugas terlebih dulu.

Presidennya, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata doktor boleh membuat surat rayuan kemudian jika mereka ada alasan yang sah.

Dilaporkan pekerja kesihatan kontrak diberi amaran yang jika enggan menerima arahan perpindahan itu akan menyebabkan mereka tidak diberikan jawatan tetap.

The Star Online melaporkan ia adalah syarat diberikan kepada pekerja kesihatan kontrak oleh KKM berdasarkan kepada slaid pembentangan KKM bertarikh 20 Julai.

Mereka yang menerima tawaran jawatan tetap dan arahan berpindah ke tempat tugas baharu akan mula melapor diri pada 31 Julai.

Beberapa kakitangan kontrak mengadu dipindahkan ke Sabah dan Sarawak, merayu untuk diberikan tempat lebih dekat. – 25 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen