Keputusan cabar sempadan pilihan raya Selangor sehari selepas laporan SPR dibentang di Parlimen


Bede Hong

Peguam Ambiga Sreenevasan berkata laporan SPR esok tidak akan menafikan keputusan pada Khamis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2018.

MAHKAMAH Rayuan akan memutuskan cabaran undang-undang perlembagaan kerajaan Selangor terhadap proses persempadanan semula yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada Khamis, iaitu sehari selepas Putrajaya membentangkan usul itu di Parlimen.

Peguam yang mewakili kerajaan Selangor, Ambiga Sreenevasan bagaimanapun memberitahu pemberita hari ini laporan SPR esok tidak akan menafikan keputusan pada Khamis itu. 

“Pada pandangan saya, ia tidak akademik. Kita bercakap tentang proses permulaan. Sekiranya ia bermasalah maka ia akan berlarutan sampai ke penghujungnya.

“Malah akta Parlimen yang sudah diluluskan boleh dicabar di mahkamah kemudiannya. Kami mengambil pandangan bahawa ia tidak akademik. Jadi terpulang kepada mereka (Parlimen) untuk menunggu keputusan (mahkamah) atau mereka mahu teruskan,” katanya. 

Selangor yang dikuasai pembangkang, hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Disember, 2017, yang menolak permohonan semakan kehakiman negeri itu. 

Selangor telah memohon pengisytiharan bahawa SPR telah melanggar peruntukan perlembagaan mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya, yang membawa kepada gerrymandering dan malapportionment dalam bilangan pengundi dalam kerusi.

Hakim Ahmadi Asnawi mengetuai tiga panel hakim terdiri daripada Vernon Ong dan Abdul Karim Abdul Jalil hari ini.

Mewakili SPR, pengerusinya Mohd Hashim Abdullah dan setiausaha Abdul Ghani Salleh adalah peguam kanan persekutuan Amarjeet Singh, Alice Loke, Suzana Atan, Shamsul Bolhassan dan Azizan Arshad.

Peguam mewakili Selangor Cyrus Dus memberitahu pemberita kerajaan negeri merasakan bahawa ia mesti menangani “isu perlembagaan” sama ada daftar pemilih sekarang digunakan.

Selangor telah menegaskan bahawa daftar pemilih sekarang ialah daftar pemilih tambahan yang diterbitkan pada bulan Julai 2016, yang sebelum notis permulaan persempadanan pada September, 2016.

“Kami telah mengambil pendirian bahawa ini adalah soal undang-undang dan oleh itu mereka terbuka kepada mahkamah untuk menentukan sama ada terdapat pematuhan dengan jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 113.

“Dan kita berpendapat ada perbezaan di antara apa yang boleh diputuskan oleh Parlimen dan apakah perkara yang perlu diputuskan oleh mahkamah. Apa-apa persoalan undang-undang atau kesahihan apa-apa tindakan atau keputusan tentang perlembagaan itu adalah untuk mahkamah putuskan,” katanya.

Cyrus berkata cadangan yang dibuat oleh SPR adalah terbuka kepada semakan kehakiman dan tertakluk kepada proses kehakiman. – 27 Mac, 2018.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen