Hentikan perbalahan, segerakan pelan pemulihan Felda, kata aktivis


Alfian Z.M. Tahir

Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata tiada guna Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin saling menyalahkan kerana ia hanya akan menimbulkan lebih banyak polemik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2023.

PERBALAHAN berterusan antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan ketua pembangkang Muhyiddin Yassin berkenaan siapa sebenarnya menyelesaikan isu hutang peneroka Felda tidak membantu sesiapa pun, kata aktivis Felda.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, mereka berkata kedua-dua personaliti ini memainkan peranan masing-masing dalam isu itu tetapi kini tiba masanya untuk kerajaan melaksanakan pelan pemulihan Felda.

Pelan pemulihan itu dalam bentuk kertas putih dibentangkan di Parlimen pada 2019 semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata beliau tahu kedua-dua pemimpin Anwar dan Muhyddin banyak membantu Felda kerana beliau terlibat dalam banyak perbincangan.

Katanya, tiada guna kedua-duanya saling menyalahkan kerana ia hanya akan menimbulkan lebih banyak polemik.

“Kita tidak boleh menafikan kedua-duanya memainkan peranan penting kerana sebagai NGO di bawah Felda, saya banyak terlibat dalam perbincangan dan program outreach.

“Adalah yang terbaik untuk kerajaan perpaduan dan pembangkang melaksanakan pelan pemulihan yang dibentangkan di Parlimen. Pada sidang akan datang, adalah lebih baik sekiranya kertas putih itu dapat dibincangkan termasuk menyentuh beberapa isu dan tindakan yang diperlukan.

“Tiada faedah menuding jari antara satu sama lain kerana di peringkat akar umbi ia menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan dan jika ini adalah sebahagian daripada usaha menarik rakyat mengundi dalam pilihan raya negeri, isu ini hanya akan menimbulkan kekeliruan kepada peneroka Felda,” kata Mazlan.

Anwar dan Muhyiddin berbalah mengenai siapa yang menandatangani skim pengecualian hutang untuk peneroka Felda.

Anwar mendakwa tiada peruntukan dibuat di bawah belanjawan negara 2021 dan 2022 yang dibentangkan oleh bekas kerajaan pimpinan Perikatan Nasional untuk menyelesaikan isu hutang Felda.

Muhyiddin tersinggung dan berkata beliau yang melupuskan hutang peneroka Felda pada 2020.

Beliau menuntut Anwar memohon maaf kerana memfitnahnya berhubung perkara berkenaan.

Minggu lalu Anwar mengeluarkan sebahagian daripada dokumen perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) terkait Jaminan Kerajaan kepada Felda yang dibuat pada 26 Jun lalu sebagai bukti dokumen bagi penghapusan hutang peneroka Felda yang ditandatanganinya.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata dokumen itu berkaitan dengan pembayaran sukuk dan bukannya penghapusan hutang peneroka.

Kedua-dua mereka menyaman satu sama lain berhubung perkara itu. – 25 Julai, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen