KETIKA negara seperti Thailand, Indonesia dan Filipina berusaha untuk membanteras pelancongan seks kanak-kanak, satu kajian mendapati ia meningkat di Myanmar, Laos, Kemboja, Vietnam dan Timor-Leste.
Kanak-kanak dari kumpulan berpendapatan rendah biasanya terdedah dengan gejala ini, menurut laporan tahunan “Global Study on Sexual Exploitation of Children in Travel and Tourism” di Asia Tenggara.
Pesalah seks kanak-kanak kebiasaannya melakukan perjalanan dalam negara atau wilayah mereka sendiri, kata pengarah eksekutif Epcat International Dorothy Rozga, yang merupakan sebuah rangkaian hak asasi kanak-kanak yang berpangkalan di Bangkok pada pelancaran di Kuala Lumpur, hari ini.
“Di rantau ini, lelaki dari China, Jepun, Taiwan, Korea Selatan dan Vietnam, adalah lebih banyak berbanding warga negara lain yang melakukan eksploitasi seks kanak-kanak, terutamanya kanak-kanak perempuan. Pelaku dari barat biasanya menyasarkan kanak-kanak di jalanan dan lebih cenderung mengeksploitasi kanak-kanak lelaki,” katanya ketika berucap pada pelancaran itu.
Katanya, lebih 3,000 pelancong dari Singapura dan Malaysia berkunjung ke kepulauan Batam untuk mendapatkan khidmat seks setiap minggu berdasarkan anggaran pihak berkuasa Indonesia pada 2009.
Satu pertiga daripada 5,000 hingga 6,000 orang yang terlibat dalam perdagangan seks di Batam adalah kanak-kanak, kata Rozga.
Malaysia, Singapura dan Brunei turutm menjadi negara destinasi untuk pemerdagangan kanak-kanak yang akhirnya terbabit dalam pelacuran, menurut kajian itu.
Lebih banyak kajian kualitatif dan kuantitatif diperlukan dalam pelancongan seks kanak-kanak di rantau ini bagi memudahkan pihak berkuasa membanterasnya, katanya.
Kajian itu berdasarkan semakan semula pelbagai kajian yang dijalankan pada skala kecil dengan mangsa kanak-kanak dipaksa bekerja di rumah pelacuran, bar, pusat karaoke, rumah urut di destinasi pelancongan di rantau ini.
“Melainkan ia dilaporkan, jenayah ini akan terus tidak daat dikesan. Kebanyakan mangsa kanak-kanak hidup dalam ketakutan,” kata Rozga.
Wakil Unicef Malaysia Marianne Clark-Hattingh, turut hadir pada pelancaran itu dan berharap kajian berkenaan akan meningkatkan kesedaran masyarakat dan membantu pihak berkuasa membanteras jenayah itu dengan lebih berkesan.
“Kanak-kanak bukan sebahagian daripada komoditi dalam pakej pelancongan,” katanya. – 27 Mac, 2018.
Komen