MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayob yang menjalani pembedahan pendarahan otak semalam masih berada di unit rawatan rapi dan dipantau rapi pasukan perubatan di Hospital Sultan Bahiyah, Alor Setar.
Anak perempuan Salahuddin, Siti Fatihah, dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan perkara itu dan berharap keluarganya diberi ruang ketika ini.
“Atas nasihat doktor dan atas permintaan keluarga, saya mohon agar diberikan ruang kepada pihak keluarga sahaja untuk datang melawat.
“Bagi pihak keluarga, kami menghargai atas segala sokongan dan doa. Saya juga mohon semua agar terus mendoakan keadaan ayah saya,” katanya.
Semalam Salahuddin menjalani pembedahan untuk membuang pendarahan dalam otak di hospital sama.
Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata pembedahan menteri itu berjaya dilakukan.
“Beliau dibawa masuk ke bilik pembedahan sekitar jam 3.30 pagi dari wad kecemasan.
“Saya tidak pasti berapa lama pembedahan berjalan tetapi saya dimaklumkan pengawal peribadinya sekitar 8 pagi tadi yang pembedahan berjaya,” katanya.
Mahfuz sebelum itu berkata Salahuddin dikejarkan ke hospital sekitar jam 10 malam selepas mengadu pening kepala dan muntah-muntah.
Setiausaha Akhbar menteri, Syakirin Husnal, dalam kenyataan menyebut yang pakar perubatan mengesahkan Salahuddin mempunyai pendarahan otak. – 23 Julai, 2023.
Komen