Jangan hukum pihak lain kerana salah The 1975, kata kumpulan peguam


Alfian Z.M. Tahir

Kumpulan muzik Britain, The 1975, mencetuskan kontroversi kerana tindakan biadap penyanyinya yang membuat ucapan berbaur perkauman dan LGBT di Malaysia. – Gambar AFP, 23 Julai, 2023.

PENGANJUR festival Good Vibes tidak bersalah sepenuhnya dan tidak sepatutnya dihukum disebabkan kejadian diluar kawalan mereka, kata Lawyers for Liberty.

Pengarahnya Zaid Malek juga berkata Unit Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal), agensi di bawah kementerian Fahmi Fadzil juga perlu dipertanggungjawabkan.

“Walaupun tindakan kumpulan muzik luar yang berlaku ketika GVF tidak boleh diterima, keputusan membatalkan sepenuhnya GVF adalah mengelirukan dan reaksi berlebihan yang memberi kesan kepada artis tempatan dan krew GVF yang bergantung kepada festival itu untuk pendapatan mereka. Tidak sepatutnya mereka dihukum atas tindakan yang diluar kawalan mereka.

“Penganjur sudah mendapatkan kelulusan pihak berkuasa berkaitan untuk kumpulan itu membuat persembahan di festival itu, dan mereka tidak bersalah sepenuhnya kerana tindakan spontan kumpulan yang berlaku di atas pentas.

“Menurut laporan, persembahan kumpulan dihentikan selepas insiden berlaku, jadi tindakan diperlukan sudah diambil serta merta oleh penganjur,” kata Zaid dalam satu kenyataan.

Semalam, Fahmi yang merupakan menteri komunikasi dan digital mengumumkan beliau mengarahkan pembatalan serta merta GVF 2023, menambah yang pendirian Putrajaya sangat jelas iaitu tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh atau melanggar undang-undang Malaysia. – 23 Julai, 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen