PERBICARAAN kes rasuah berkaitan banglo di Jalan Pinhorn milik Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ditangguhkan sehingga bulan depan.
Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Hadhariah Syed Ismail berkata perbicaraan kes akan disambung pada 9 April jam 9.30 pagi.
“Kita akan kosongkan tarikh 28 sehingga 30 Mac untuk membolehkan peguam Gobind hadiri Parlimen,” katanya selepas pendakwaraya selesai menyoal saksi terakhir hari ini.
Lim merupakan ahli Parlimen Bagan manakal peguamnya, Gobind Singh Deo adalah ahli Parlimen Puchong dan Ramkarpal Singh mewakili Bukit Gelugor perlu menghadiri persidangan Dewan Rakyat esok. Semua mereka wakil rakyat DAP.
Gobind berkata beliau sebelum itu membuat permohonan kepada Hadhariah untuk membolehkan semua mereka menghadiri persidangan itu.
Persidangan kali ini sangat penting kerana cadangan persempadanan semula pilihan raya akan dibentangkan untuk bacaan pertama esok di Dewan Rakyat.
Wakil rakyat Pakatan Harapan menentang proses itu yang didakwa mereka memberi kelebihan kepada Barisan Nasional dan membantu mereka terus menguasai Putrajaya pada pilihan raya akan datang.
Perbicaraan Lim dijadualkan berlangsung sepanjang minggu ini, semalam adalah hari pertama.
Pihak pendakwaan memanggil 55 orang saksi. Setakat ini, 25 orang sudah dipanggil memberi keterangan.
Lim dituduh menggunakan kedudukannya untuk kepentingan diri sendiri dan isterinya, Betty Chew untuk membeli sebuah banglo daripada Phang dengan harga di bawah harga pasaran sebanyak RM2.5 juta pada 2015.
Phang membeli hartanah itu pada penghujung 2008 dengan harga RM2.5 juta. Dia sebelum itu menyewakannya kepada Lim dengan harga RM5,000 sebulan.
Pendakwaraya mengatakan hartanah itu dinilai pada harga RM4.27 juta ketika itu, dan akan memberikan bukti yang Lim membeli hartanah itu walaupun mengetahui ia di bawah harga pasaran dan Phang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai ketua menteri.
Pendakwaraya juga akan membuktikan yang Phang kerugian RM6,827.00 sebulan atau sejumlah RM494,784 sepanjang menyewakan banglo itu kepada Lim sejak Jun 2009 hingga Jun 2015.
Kesalahan itu dibawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Lim berdepan dakwaan kedua di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana menggunakan kedudukannya untuk kepentingan diri dan isteri Betty Chew dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem untuk mengubah status tanah pertanian kepada kediaman dalam mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri pada 18 Julai 2014.
Phang adalah pengarah Magnificent Emblem. – 27 Mac, 2018.
Komen