Kumpulan sivil kutuk ancaman ke atas Siti Kasim


Noel Achariam

Aktivis Siti Kasim diancam dengan bom yang diletak dalam keretanya semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2023.

LIMA puluh lima kumpulan masyarakat sivil mengecam sekeras-kerasnya segala bentuk ugutan dan keganasan terhadap aktivis hak asasi manusia seperti dalam kes peguam Siti Kasim.

Kumpulan itu berkata mereka akan terus bersolidariti dengan Siti dan menyeru kerajaan untuk mengambil serius kes itu, menyiasat dan melindungi keselamatannya dengan segera.

“Seluruh masyarakat harus mengambil langkah bersama untuk mencegah keganasan dan ugutan terhadap individu dan kolektif yang menyuarakan pendapat berbeza.

“Kami berdiri teguh menyokong Siti dan menyeru polis untuk menjaga keselamatannya. Kami juga mengutuk sekeras-kerasnya mereka yang memasang bom alat letupan improvisasi (IED) di bawah keretanya,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Semalam, Siti menyiarkan dalam media sosial mengenai objek menyerupai bahan letupan buatan sendiri yang diletakkan di dalam keretanya.

Peguam itu, dalam siaran langsung di Facebook rasminya, berkata penemuan itu dibuat ketika beliau menghantar kenderaannya untuk diselenggara di sebuah pusat servis di Bangsar pada tengah hari.

Ketua Polis Daerah Brickfields Amihizam Abdul Shukor mengesahkan dua botol berisi wayar yang ditemui di bawah kereta aktivis sosial Siti dipercayai IED.

Amihizam berkata polis menerima panggilan kecemasan pada jam 12.58 tengah hari dan segera bertindak.

“Kami segera menghantar skuad bom manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat turut membantu.

“Skuad bom berjaya melupuskan kedua-dua botol dipercayai IED,” katanya.

Kumpulan masyarakat sivil berkata walaupun Siti lantang bersuara mengenai Orang Asli dan pelbagai isu hak asasi manusia, pemikiran kritis dan pendirian progresifnya sering diancam dengan kritikan dan ancaman.

“Kementerian Dalam Negeri seharusnya menyedari trend ini dan bekerjasama dengan kumpulan masyarakat sivil dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk mencari penyelesaian bagi menjamin keselamatan dan kebebasan bersuara rakyat serta mengelak trend ini daripada terus merebak dan menjadi kebiasaan.

“Dalam masa terdekat, kami menggesa polis menjalankan siasatan secara telus dengan segera dan mengambil tindakan sewajarnya termasuk membawa penjenayah ke muka pengadilan kerana kes ini membabitkan kepentingan awam.”

Tegas mereka, kejadian itu amat membimbangkan dari pelbagai sudut kerana ia membabitkan keselamatan orang awam, aktivis dan juga pihak lain yang ingin menyuarakan pendapat. – 22 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen