PROGRAM Temu Anwar di beberapa universiti kebelakangan ini merupakan platform Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkongsi hala tuju negara sekali gus menggalakkan pelajar menerapkan nilai-nilai yang boleh membantu menyumbang kepada kejayaan negara.
Membidas dakwaan pembangkang kononnya program itu boleh dilihat sebagai kempen politik secara terbuka di universiti, Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin berkata lawatan berkenaan langsung tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan pada 12 Ogos ini.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata Anwar merupakan satu-satunya perdana menteri yang sangat mengambil berat tentang pelajar dan orang muda.
“Kalau kita dengar ucapan dia (Anwar), antaranya mahu supaya pelajar selain daripada kritis dia mahu pelajar kreatif, dia juga mahu pelajar jangan taksub tetapi perlulah menggunakan pemikiran, mestilah memiliki pemikiran rasional.
“Semua itu, kalau saya pun, memang itulah yang saya nak cakap kepada pelajar kerana masa depan negara bergantung kepada (bagaimana) kita dapat lahirkan (pemimpin).
“Satu, bukan sahaja kekuatan fizikal tetapi juga kekuatan pemikiran dan kekuatan kerohanian ... (itu) tiga perkara yang penting yang saya ingat selari dengan konsep Malaysia Madani yang kita nak capai melalui perkara ini,” kata beliau kepada pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Jaafar Albar, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan segelintir pihak yang mahu Ahli Parlimen Tambun itu menghentikan program berkenaan di universiti, sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian ke arah menangani kesusahan rakyat dan ekonomi negara.
Terdahulu, Mohamed Khaled yang merasmikan UPSI Smarthome Schooling@Johor di sekolah berkenaan.
Katanya, program tuisyen berfokuskan lima mata pelajaran teras itu yang akan membantu meningkatkan kualiti pendidikan murid B40 melibatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Program tuisyen itu yang akan bermula 1 Ogos hingga 22 Okt ini melibatkan enam sekolah di kawasan Parlimen Kota Tinggi. – Bernama, 22 Julai, 2023.
Komen