REE Kedah: SPRM tahan seorang lagi individu malam tadi


SPRM menahan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2023.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Sumber berkata suspek berusia 50-an merupakan pembantu kepada pemilik syarikat dan ditahan kira-kira jam 10 malam tadi di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Suspek berkenaan kini direman selama empat hari sehingga 24 Julai selepas Majistret M.Mageshwary membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

Sementara itu di mahkamah sama SPRM turut mendapat kebenaran untuk menyambung reman seorang suspek wanita yang merupakan pengarah sebuah syarikat selama dua hari hingga Ahad ini.

Seorang pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah yang ditahan SPRM sebelum ini bagi membantu siasatan kes itu dibebaskan hari ini, kata sumber.

Sementara itu Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.

Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai kanan MBI Kedah dan seorang wanita yang merupakan pengarah sebuah syarikat ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM13 juta serta salah guna kuasa membabitkan isu perlombongan REE di Kedah.

Kedua-dua individu yang berusia 63 dan 40 tahun itu direman tiga hari hingga hari ini selepas ditahan di sekitar Alor Setar dan ibu negara.

Menurut sumber syarikat terbabit dipercayai menjalankan aktiviti perlombongan itu secara haram sejak 2020 dan mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu.

Semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya merakam kenyataan 12 individu bagi membantu siasatan kes tersebut. – Bernama, 21 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen