DUA bekas pemain bola sepak dan dua ahli akademik adalah antara calon Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN), kata Muhammad Sanusi Md Nor.
Pengarah pilihan raya PN itu berkata berkata antara calon yang tersenarai ialah ustaz dan ulama.
“Tuan-tuan sekalian, 12 Ogos ini undilah Perikatan Nasional untuk musim kedua perpindahan (penggal baharu), kita akan ada dua profesor mewakili kita, pemain bola ada dua, ustaz dan ulama tak payah kira (banyak) serta seorang panglima yang duduk di hadapan (atas pentas ceramah) akan mengetuai senarai calon itu,” kata Sanusi dipetik dalam laporan New Straits Times.
PN Kedah dijadual mengumumkan barisan calon PRN pada Rabu depan selepas penahanan Sanusi mengganggu rancangan untuk mendedahkannya pada minggu ini.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah mempunyai 36 kerusi. Sebelum ini PN memegang 20 kerusi dengan selebihnya dipegang oleh pembangkang.
Sebelum ini spekulasi bertiup kencang mengatakan bekas kapten pasukan bola sepak Kedah Baddrol Bakhtiar akan diletakkan sebagai calon PN di negeri itu berikutan keputusannya meninggalkan Kelab Bola Sepak Sabah baru-baru ini.
Negeri lain yang akan turut mengundi pada 12 Ogos ini ialah Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu. – 21 Julai, 2023.
Komen