Kenapa tak beri ganjaran 20 sen untuk beg sendiri di negeri BN, tanya Elizabeth Wong


Diyana Ibrahim

Pakatan Harapan di Selangor tiada masalah untuk mencontohi langkah kerajaan negeri lain yang diperintah oleh BN sekiranya ia terbukti berkesan untuk menangani isu penggunaan bag plastik, kata Exco Selangor Elizabeth Wong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2018.

EXCO Selangor Elizabeth Wong hairan kenapa kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri-negeri lain tidak terlebih dahulu melaksanakan ganjaran 20 sen kepada pengguna yang membawa sendiri beg membeli-belah, kalau apa yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor sekarang tidak betul.

Wong berkata kerajaan Pakatan Harapan di Selangor tiada masalah untuk mencontohi langkah kerajaan negeri lain yang diperintah oleh BN sekiranya ia terbukti berkesan untuk menangani isu penggunaan bag plastik.

“Cadangan untuk bayar 20 sen beg kertas dan sebagainya, saya tidak ada halangan, cuma menteri buat dulu di negeri Barisan Nasional, kalau baik mungkin kita akan kaji,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ng Sze Han pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Ng terlebih dahulu bertanya kepada exco pelancongan, hal ehwal pengguna dan alam sekitar itu tentang dakwaan kononnya caj 20 sen beg plastik yang dilaksanakan di negeri itu lebih membebankan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

BN Selangor sebelum ini berjanji mahu memansuhkan caj 20 sen bagi beg plastik di negeri itu, sebaliknya memberi ganjaran yang sama kepada pengguna yang membawa beg sendiri ketika membeli-belah, sekiranya berjaya merampas kembali negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi BN Selangor Noh Omar berkata, dasar yang diperkenalkan kerajaan negeri Selangor itu didakwa hanya menyusahkan rakyat dan menguntungkan sesetengah pihak sahaja.

Menjawab soalan Adun Lee Kee Hiong (Kuala Kubu Bahru-DAP) sebelum itu, Wong berkata kerajaan negeri tidak berhasrat membatalkan Kempen Beg Plastik dan Polisterina walaupun ada pihak yang membantah pelaksanaannya.

Sebaliknya kata Wong, pelaksanaan kempen itu akan diperluaskan kepada pengurangan penggunaan botol plastik dan straw plastik.

Pada sidang medianya kemudian Wong menjelaskan kempen pengurangan botol plastik dan straw plastik mungkin akan dilaksanakan pada tahun ini namun tidak akan ada larangan seperti penggunaan beg plastik.

“Ia adalah lebih kepada kempen kesedaran sebab rakyat lebih tertarik menggunakaan plastik yang hanya boleh digunakan sekali saja.

“Tidak ada larangan, kerajaan negeri tidak akan mengharamkan, kita hanya mahu menggalakan rakyat untuk mengitar semula,” katanya.

Menurut Wong, sejak melaksanakan kempen tersebut bermula 1 Januari 2017, peruncit mengumpulkan sebanyak lebih RM7 juta setakat Februari 2018. – 27 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen