Dakwa dipecat secara salah, bekas kakitangan kedutaan tuntut pampasan


SEORANG wanita Sudan, yang merupakan pegawai pemasaran di kedutaan Malaysia di Sudan, mendakwa beliau dipecat secara salah pada Oktober lalu.

Beliau kini mahu kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Luar, membayar AS$1,600 (RM7,270) sebagai pampasan bagi pemecatan yang salah.

FreeMalaysiaToday melaporkan Maye Mahgoub Moustafa Ahmed mendakwa beliau tidak menerima sebarang maklum balas daripada Wisma Putra mengenai tuntutan pampasannya.

Portal berita itu juga berkata seorang pegawai Wisma Putra berkata mereka akan meneliti dakwaan Maye.

Menurut laporan itu, Maye, 43, kerap menghubungi Wisma Putra untuk mendapatkan maklumat terkini tetapi tidak berjaya.

E-mel terakhirnya kepada kementerian dihantar pada 5 Julai.

“Mereka pada mulanya memberitahu sedang menunggu kelulusan, tetapi kemudian berhenti menjawab panggilan saya berikutnya. Kenapa satu kelulusan memerlukan hampir setahun? Ini tidak logik dan tidak boleh diterima,” katanya seperti dipetik FMT.

Maye berkata beliau diambil sebagai pegawai pemasaran pada Mei tahun lalu tetapi dipecat pada Oktober kerana didakwa gagal mengisytiharkan yang beliau pernah dipecat Kedutaan Brazil.

Beliau berkata sudah memaklumkan kepada penemuduga pernah bekerja di kedutaan Brazil di Sudan tetapi tidak ditanya mengapa berhenti.

Maye tidak dapat mengambil tindakan undang-undang terhadap kedutaan Malaysia kerana negaranya kini dalam keadaan perang.

Beliau kini menjadi pelarian di Mesir. – 21 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen